Berita, Rencana

Belanjawan 2020: Kerajaan PH terus bela kepentingan Bumiputera, Islam

Belanjawan 2020 dengan tema ‘Kemakmuran Bersama: Menjana Pertumbuhan Inklusif yang Berkualiti ke Arah Ekonomi Berpendapatan Tinggi’ telah dibentangkan dengan jayanya oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di Parlimen pada 11 Oktober lalu. 

Belanjawan kali kedua yang dibentang di bawah Kerajaan Pakatan Harapan (PH) itu merangkumi empat teras utama, iaitu; Memacu Pertumbuhan Ekonomi Dana Ekonomi Baharu dan Era Digital, Pelaburan Ke Atas Rakyat: Meningkatkan Keupayaan Modal Insan, Mewujudkan Masyarakat Yang Bersatu, Inklusif dan Saksama dan Memulihkan Institusi dan Kewangan Awam.

Seperti yang dinyatakan Guan Eng pada pembukaan ucapannya, kerajaan akan menumpukan kepada “konsolidasi dan rasionalisasi fiskal, reformasi institusi dan dasar berjiwa rakyat bagi memperbetulkan penyelewengan kewangan dan salah guna kuasa yang berleluasa di bawah pentadbiran terdahulu”.

Kata kunci di sini adalah “dasar berjiwa rakyat”. Tambahnya, kerajaan komited untuk menstabilkan semua kedudukan kewangan negara dan meneruskan matlamat Wawasan 2020 dengan trajektori pertumbuhan baharu berasaskan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030. 

Jelas, menerusi Belanjawan 2020 kali ini, kerajaan mahu menetapkan semula dasar negara ke arah yang lebih murni demi kesejateraan rakyat tanpa mengira kaum, agama dan wilayah, setelah ditimpa aib yang besar selepas digelar kleptokrasi besar oleh dunia akibat daripada skandal 1MDB yang dicetuskan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Meskipun berterusan menghadapi kekangan kewangan ditambah suasana ekonomi global yang tidak menentu — natijah daripada perang perdagangan antara dua kuasa besar dunia Amerika Syarikat dan China —  Belanjawan 2020 tidak meminggirkan pembangunan dan kebajikan rakyat. 

Belanjawan 2020 ini juga dilihat bergerak selari dengan semangat Perlembagaan Persekutuan yang diterjemahkan menerusi pelbagai peruntukan kepada golongan Bumiputera dan Islam, tanpa meminggirkan hak dan kepentingan masyarakat lain. 

Sebagai contoh di bawah teras pertama, strategi ketiga iaitu “Memperkukuh Akses kepada Pembiayaan Perniagaan”, kerajaan terus menyatakan komitmen untuk menyokong usahawan Bumiputera baharu menerusi dua dana baharu yang diperkenalkan SME Bank di mana kerajaan akan menyediakan subsidi kadar faedah dua peratus setahun bagi mengurangkan kos pinjaman seperti berikut: 

  1. Peruntukan dana RM200 juta khusus untuk usahawan wanita dengan tawaran pembiayaan sehingga RM1 juta bagi setiap PKS; dan 
  2. Peruntukan dana RM300 juta untuk menyokong PKS yang berpotensi menjadi jaguh serantau. Untuk tujuan ini, keutamaan akan diberikan kepada pengeluar produk halal serta pengeluar produk dengan kandungan tempatan yang tinggi.

Geran RM445 juta untuk usahawan Bumiputera

Di bawah strategi yang sama, kerajaan turut memperuntukkan geran sebanyak RM445 juta bagi menyokong pembangunan usahawan Bumiputera. Ia akan diberikan dari segi akses kepada pembiayaan, penyediaan premis perniagaan dan latihan keusahawanan. Ini termasuklah: 

  1. RM150 juta untuk semua program pembangunan dan peningkatan kemahiran keusahawanan oleh Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB); 
  2. RM75 juta untuk membina kapasiti PKS Bumiputera oleh SMECorp, yang merangkumi program untuk meningkatkan pemasaran, pembungkusan dan celik kewangan;
  3. RM170 juta untuk akses pembiayaan melalui TEKUN Nasional, SME Bank dan Pelaburan Hartanah Berhad (PHB); dan
  4. RM50 juta untuk program keusahawanan di bawah Unit Peneraju Agenda Bumiputera, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

RM1.3 bilion untuk institusi pendidikan bawah MARA

Sektor pendidikan terus diberi keutamaan yang tertinggi dalam Belanjawan 2020. Kementerian Pendidikan menerima peruntukan terbesar berjumlah RM64.1 bilion berbanding RM60.2 bilion pada tahun lalu. 

Malah, kerajaan PH juga tidak meminggirkan pelajar Bumiputera berpendapatan rendah dan tinggal di luar bandar dengan memberi penekanan terhadap peluang pembelanjaran di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju). 

Menurut Guan Eng, MARA akan terus menyediakan pendidikan kepada golongan Bumiputera melalui institusi seperti Maktab Rendah Sains MARA, Kolej Giat MARA dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL). 

Oleh itu, pada tahun hadapan, kerajaan PH akan memperuntukkan sejumlah RM1.3 bilion bagi institusi pendidikan di bawah MARA dan sebanyak RM2 bilion bagi membiayai pinjaman untuk 50 ribu pelajar. 

Tambahan sebanyak RM192 juta pula diperuntukkan untuk program pensijilan profesional di bawah Yayasan Peneraju.

Peruntukan yang diberikan ini jelas mencerminkan kesungguhan kerajaan PH dalam mengangkat taraf ekonomi Bumiputera menerusi pendidikan. 

RM1.3 bilion projek kerajaan untuk kontraktor Bumiputera

Kerajaan PH juga telah membuka semula pendaftaran bagi Kontraktor Bumiputera Gred 1 (G1) mulai 1 September 2019. Sehingga akhir bulan tersebut, sejumlah 946 permohonan telah diterima. 

Kerajaan PH, kata Menteri Kewangan, sedang menambah peluang kepada lebih ramai kontraktor Bumiputera untuk menyertai perolehan Kerajaan. 

Selaras dengan itu, kerajaan menawarkan kontrak projek kerajaan bernilai RM1.3 bilion untuk dibida khusus oleh kontraktor Bumiputera sedia ada dan baharu. 

Ini sekaligus menunjukkan iltizam kerajaan PH untuk meningkatkan tahap ekonomi dan kesejahteraan Bumiputera. Dalam Belanjawan 2019 yang lalu sahaja, sebanyak RM7.6 bilion telah diperuntukkan bagi membantu institusi dan usahawan Bumiputera. 

Secara kesimpulannya, peruntukan untuk institusi dan usahawan Bumiputera dalam Belanjawan 2020 meningkat sebanyak 4 juta kepada RM8 bilion. Ia termasuk:

  1. RM6.6 bilion diperuntukkan kepada institusi Bumiputera yang fokus dalam pendidikan seperti MARA, Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Yayasan Peneraju; 
  2. RM1 bilion bagi membantu pembiayaan PKS Bumiputera melalui SJPP dan SME Bank; dan
  3. RM445 juta diperuntukkan untuk program keusahawanan di bawah TEKUN Nasional, SMECorp, PUNB, PHB dan TERAJU.

Malah, setakat Ogos tahun ini, syarikat Bumiputera telah berjaya memperoleh kontrak projek baharu kerajaan melalui tender bernilai lebih daripada RM3.6 bilion. 

Bagi meneruskan kelangsungan tersebut, pada tahun hadapan, kerajaan PH akan terus memastikan sekurang-kurangnya 30 peratus tender setiap kementerian akan dikhaskan kepada kontraktor Bumiputera. 

Pada tahun 2020, Kerajaan juga akan terus memastikan sekurang-kurangnya 30 peratus tender setiap kementerian dikhaskan untuk kontraktor Bumiputera.

RM810 juta untuk FELDA

Kerajaan PH tidak meminggirkan kepentingan penduduk luar bandar khususnya Bumiputera. Sejumlah RM810 juta diperuntukkan secara khusus untuk kebajikan masyarakat Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA). Ini termasuk:

  1. RM250 juta untuk program bagi meningkatkan pendapatan 11,600 orang peneroka; 
  2. RM300 juta untuk hapus kira faedah pinjaman peneroka;
  3. RM100 juta bagi bekalan air FELDA;
  4. RM70 juta untuk perumahan generasi baru peneroka FELDA; dan
  5. RM90 juta untuk menaik taraf jalan dan infrastruktur asas di kawasan FELDA.

Peruntukan syiar Islam meningkat kepada RM1.3 bilion

Kerajaan PH akan terus mempertahankan kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ini diterjemahkan menerusi peruntukan berjumlah RM1.3 bilion berbanding RM1.2 bilion dalam belanjawan lalu untuk hal ehwal Islam sebagai bukti komitmen tersebut. 

Guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) juga dinaikkan sebanyak RM100 sebulan. Inisiatif ini akan memberi manfaat kepada 33,200 guru KAFA sedia ada dengan peruntukan tambahan sebanyak RM46 juta. 

Kerajaan turut mencadangkan bantuan khas secara one-off sebanyak RM500 kepada setiap Imam, Bilal (Muazzin), Tok Siak/Noja/Merbot (penjaga masjid) dan Guru Takmir sebagai menghargai peranan dan jasa mereka dalam masyarakat. 

Kerajaan juga akan menyalurkan peruntukan bagi membangunkan pemahaman Maqasid Syariah melalui beberapa program pemerkasaan dan perbincangan selari dengan inisiatif Rahmatan Lil-Alamin dengan peruntukan RM10 juta kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Bumiputera, Islam terus dibela

Berbeza dengan pandangan serong pembangkang PAS-UMNO, kerajaan PH hakikatnya tidak meminggirkan kepentingan dan kedudukan Bumiputera yang terdiri daripada orang Melayu, malah kedudukan dan kesucian agama Islam terus terpelihara selaras dengan Perlembagaan Persekutuan. 

PAS-UMNO terus meniupkan sentimen perkauman dan keagamaan, dengan harapan dapat memecahbelahkan rakyat Malaysia. Belanjawan 2020 ini adalah manifestasi keprihatinan dan komitmen kerajaan PH dalam mengangkat semangat Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak semua kaum termasuk Bumiputera. 

Pun begitu, pemimpin PAS-UMNO berterusan menggunakan berita palsu bagi mengambarkan kerajaan PH kononnya anti-Melayu dan anti-Islam. 

Terbaharu, orang kuat Najib, Lokman Noor Adam menggunakan berita palsu untuk memberi gambaran kononnya kerajaan PH melebih-lebihkan kepentingan sesuatu kaum dan meminggirkan orang Melayu. 

Hakikatnya, Belanjawan 2020 disalurkan mengikut demografi kaum di Malaysia, tidak ada mana-mana kaum tertinggal dalam peruntukan yang diumumkan kerajaan sesuai dengan semangat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang ingin dipacu kerajaan PH. – Roketkini.com