Berita

Kerajaan PH tetap salur bantuan kepada Kelantan meski berdepan kecaman, fitnah

Meskipun berdepan kecaman dan fitnah daripada pihak pembangkang, kerajaan Pakatan Harapan (PH) tetap menyalurkan bantuan dalam bentuk wang ehsan dan pendahuluan kepada kerajaan negeri Kelantan. 

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan PH telah menyalurkan wang pendahuluan berjumlah RM100 juta kepada kerajaan negeri Kelantan pada 14 Oktober lalu. 

“Wang pendahuluan RM100 juta bukan kali pertama kerajaan negeri Kelantan membuat permohonan kepada kerajaan Persekutuan yang baharu untuk membantu bayar gaji warga perkhidmatan kerajaan negeri.

“Pada tahun 2018, permohonan wang pendahuluan sebanyak RM91.5 juta untuk membayar perbelanjaan operasinya termasuk gaji anggota kerajaan negeri Kelantan juga telah diluluskan,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Sementara wang ehsan berjumlah RM15.75 pula, jelasnya, telah diberikan kepada kerajaan negeri Kelantan pada 18 September lalu seperti yang disahkan, Menteri Besarnya, Datuk Ahmad Yakob.

“Bayaran wang ehsan juga telah diawalkan kepada bulan September 2019, sedangkan pembayaran dijadualkan pada Januari 2020. 

“Perlu ditegaskan bayaran wang ehsan dan perkara perihal petroleum dan Petronas bukanlah di bawah bidang kuasa Menteri Kewangan tetapi di bawah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad,” ujarnya. 

Selepas PH mengambil alih kerajaan Persekutuan, katanya, Dr Mahathir telah memutuskan bahawa bahagian 50 peratus daripada bayaran wang ehsan diberikan terus kepada kerajaan negeri kelantan, tidak seperti sebelum ini di mana ia disalurkan kepada entiti kerajaan Persekutuan.

“Sebelum ini, pembayaran wang ehsan diberikan secara tahunan kepada Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) dan sebuah entiti Kerajaan Persekutuan secara 50:50,” ujarnya.  

Tambah Guan Eng, ini jelas membuktikan bahawa kerajaan PH komited untuk memberi bantuan kepada negeri yang menghadapi masalah kewangan termasuk kerajaan negeri Kelantan meskipun berdepan pelbagai cemuhan dan fitnah. 

“Adalah dikesali pihak yang tidak bertanggungjawab cuba menimbulkan kebencian dan memainkan sentimen dengan melontarkan fitnah bahawa saya cuba menghalang pembayaran dilakukan, walaupun hakikatnya pembayaran dibuat atas arahan Perdana Menteri,” ujarnya.  

“Sukar difahami bagaimana kerajaan negeri Kelantan hari ini menganggap pihak yang sebelum ini tidak menyalurkan bayaran wang ehsan kepada kerajaan negeri Kelantan sebagai rakan setia, tetapi kerajaan Persekutuan yang menyalurkan bayaran wang ehsan secara langsung kepada kerajaan negeri dianggap sebagai musuh ketat,” tambahnya lagi.  

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan, turut berharap pemberian wang ehsan dan pendahuluan tersebut dapat membantu kerajaan negeri Kelantan mengukuhkan kedudukan kewangan negeri dan seterusnya meningkatkan taraf sosio-ekonomi rakyatnya. – Roketkini.com