Berita

Seruan bentuk kerajaan tanpa mana-mana komponen PH ‘pendek akal, tak munasabah’ 

Seruan untuk membentuk kerajaan tanpa mana-mana parti komponen dalam Pakatan Harapan adalah suatu kenyataan yang “pendek akal dan tidak munasabah”, kata Ketua Sosialis Muda DAP (DAPSY), Howard Lee.

Katanya, setiap parti komponen PH mempunyai kekuatan dan keistimewaan masing-masing yang membawa nilai tersendiri dalam kepimpinan negara. 

“Tiada siapa pun dalam Pakatan Harapan boleh mendesak mana-mana parti komponen sama ada DAP, Bersatu, Amanah atau PKR untuk disisihkan daripada gabungan ini.

“Seruan pecah belah sebegini adalah perangkap yang dipasang oleh pihak yang meletakkan kepentingan politik sendiri atas agenda negara,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian merujuk kritikan Ahli Jawatankuasa DAP Kebangsaan, Ronnie Liu terhadap Bersatu yang merupakan parti komponen PH. 

Howard dalam pada itu berkata, DAPSY menyokong penuh keputusan parti untuk merujuk Ronnie ke jawatankuasa disiplin parti.

Terdahulu, Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, akan merujuk Ronnie ke jawatankausa disiplin berhubung kritikannya terhadap Bersatu yang boleh menjejaskan kesepakatan dalam PH. 

Pun begitu, Howard meminta semua pihak memberi ruang kepada DAP untuk menguruskan hal disiplin membabitkan ahli-ahlinya. 

“Perlu diingatkan semua pihak luar untuk tidak masuk campur urusan dalaman parti, manakala setiap pertikaian antara parti perlu dirujuk kepada kepimpinan tertinggi Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH). 

“Semua pihak perlu menghormati mekanisme yang telah ditentukan ini supaya ia dapat menjalankan fungsinya sebaik mungkin,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Rapatkan saf kepimpinan demi kemakmuran rakyat

Mengulas lanjut, Howard yang juga Adun Pasir Pinji berkata, kerajaan PH telah berjaya melakukan pelbagai agenda kemakmuran berpandukan aspirasi rakyat sejak mengambil alih pentadbiran negara. 

“Jatuhnya rejim kleptokrasi zalim bawah Najib Razak adalah sebahagian daripada senarai panjang pencapaian yang kita kecapi bersama dalam PH.

“Kita belum pun lagi separuh penggal dalam mandat yang diberikan rakyat. Masih banyak kerja-kerja untuk mencuci kerosakan rejim terdahulu dan membina semula negara. 

“Masanya untuk kita semua rapatkan saf dan tetap fokus kepada reformasi pentadbiran dan institusi awam agar semua rakyat dapat menikmati kemakmuran bersama,” ujarnya. – Roketkini.com