Berita

DAP akan rujuk Ronnie Liu ke jawatankuasa disiplin parti

DAP akan merujuk Ronnie Liu Tian Khiew ke jawatankuasa disiplin parti berhubung kenyataan yang didakwa mempersoalkan kesepakatan Pakatan Harapan (PH) yang kini membentuk kerajaan Persekutuan. 

Tegas Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook, kenyataan ahli jawatankuasa DAP Kebangsaan itu amat tidak wajar dan tidak bertanggungjawab malah tidak mencerminkan pendirian parti. 

“Kenyataan daripada Ronnie Liu ini dilihat daripada kepimpinan DAP sebagai tindakan sabotaj. Satu tindakan yang sangat serius. 

“Dan saya sebagai Setiausaha Organisasi (DAP) Kebangsaan akan merujuk beliau kepada jawatankuasa disiplin parti,” katanya kepada pemberita di Parlimen, hari ini. 

Tambah Anthony Loke, kesepakatan PH tidak wajar dipersoal oleh mana-mana pemimpin DAP mahupun PH sendiri. 

“Pakatan Harapan ditubuhkan oleh empat parti iaitu Bersatu, PKR, Amanah dan DAP dan kita memenangi PRU-14 melalui platform Pakatan Harapan. 

“Ini mandat yang telah diberikan oleh rakyat kepada kerajaan Pakatan Harapan di bawah kepimpinan yang amat berhormat Tun Dr Mahathir Mohamad 

“Tidak ada sesiapa pemimpin dalam Pakatan Harapan termasuk daripada DAP yang boleh mempersoalkan (kesepakatan) Pakatan Harapan ini. – Roketkini.com