Berita

Kerajaan PH komited pertahan perpaduan nasional

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) komited menjaga perpaduan rakyat tanpa mengira etnik, agama, wilayah dan usia bagi memastikan Malaysia menjadi sebuah negara yang maju.

Tegas Majlis Setiausaha Pakatan Harapan, sebarang usaha menganggu gugat perpaduan rakyat akan melambatkan agenda pembangunan ekonomi negara dan menyebabkan kerajaan kleptokrasi kembali berkuasa. 

Tambahnya, usaha mengganggu perpaduan rakyat dengan isu perkauman semakin rancak dimainkan menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai pada 15 November nanti. 

“Meskipun PH mengakui PRK Tanjung Piai agar sukar, namun kami percaya rakyat mempunyai pilihan antara sebuah Malaysia yang lebih baik atau politik berasaskan kebencian,” ujarnya dalam kenyataan.

Kenyataan tersebut dikeluarkan secara bersama oleh Ketua Setiausaha Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah; Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution; Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Wira Haji Marzuki Yahya; Setiausaha Agung Amanah, Datuk Wira Anuar Tahir; dan Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook.

Sokong penuh Belanjawan 2020 

Majlis Setiausaha PH dalam pada itu menyatakan sokongan penuh terhadap Belanjawan 2020 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng. 

Menurut mereka, Belanjawan 2020 mencerminkan komitmen kerajaan PH untuk memacu pembangunan ekonomi negara berasaskan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Belanjawan 2020 bukan sahaja mampu merangsang pertumbuhan dan memperkemaskan struktur ekonomi, tetapi turut mempersiapkan keperluan bagi setiap rakyat Malaysia dengan menyediakan perkhidmatan kesihatan sejagat, pekerjaan yang bernilai tinggi dengan gaji yang setimpal, pendidikan berpaksikan ilmu dan akhlak yang murni.

“Matlamat besar Belanjawan 2020 ini adalah untuk memastikan setiap rakyat Malaysia yang berbilang etnik dan agama dapat merasai kemakmuran bersama, mengukuhkan perpaduan rakyat dengan mengangkat prinsip keharmonian berteraskan semangat perlembagaan persekutuan, dan bertolak ansur supaya keamanan negara dapat diwarisi oleh anak cucu kita dengan penuh harapan dan peluang masa hadapan yang lebih cerah,” ujarnya. – Roketkini.com