Berita, Rencana

Masa depan Malaysia lebih terjamin bersama Pakatan Harapan

(Ucapan Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong sempena Konvensyen Tahunan DAP Johor 2019 di Muar pada 3hb November 2019)

Terlebih dahulu saya bagi pihak Jawatankuasa Negeri DAP Johor mengucapkan terima kasih kepada wakil-wakil negeri yang sudi hadir ke konvensyen tahunan ini. Ucapan terima kasih yang tidak terhingga juga diucapkan kepada Setiausaha Agung Sdr Lim Guan Eng dan juga Sdr Lim Kit Siang atas kehadiran mereka yang menyempurnakan mesyuarat hari ini. Saya juga ingin mengalu-alukan kehadiran Sdr YB Syed Ibrahim Syed Noh (Pengerusi PKR Johor), Sdr YB Mazlan Bujang (Pengerusi PPBM Johor) dan Sdr Faizul Salleh (Wakil Parti AMANAH Johor) bersama kita pada hari ini.

Mewakili DAP Johor, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Johor kerana menang dalam Piala Malaysia semalam. Saya juga menyatakan solidariti dengan Sdr P Gunasekaran and G Saminathan yang kini dalam tahanan. Di sini juga saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga pemimpin veteran DAP, Allahyarham Sdr Ahmad Ton yang telah meninggal dunia pada 29 September 2019 lalu. 

Saya juga merakamkan ucapan takziah kepada keluarga rakan saya Allahyarham Sdr. Dr Md Farid Md Rafik yang meninggalkan kita buat selama-lamanya pada 21hb September 2019.  Permergian Sdr. Dr. Farid mencetuskan pilihan raya kecil Tanjung Piai yang kini berlangsung di negeri kita. Buat masa ini tidak dinafikan bahawa Pakatan Harapan sedang mengalami krisis yang perlu ditangani, dan tidak ada jaminan kita akan menang mudah di PRK Parlimen Tanjung Piai. 

Sebenarnya ada kaitan langsung di antara pertarungan di Tanjung Piai dan keadaan politik kebangsaan hari ini. Pakatan Harapan perlu menyakinkan rakyat di seluruh negara bahawa gabungan politik kita adalah satu bentuk kerjasama yang akan menyumbang kepada kestabilan, kesejahteraan dan kemakmuran negara tercinta kita. 

Pakatan Harapan mesti menyakinkan pengundi dan penyokong bahawa hanya jalan tengah dalam politik yang akan menjamin masa depan negara, dan hanya Pakatan Harapan yang dapat berada di jalan tengah. 

Gabungan pembangkang yang rapuh, iaitu PAS, UMNO, MCA dan MIC, tidak berada di landasan sederhana. Mereka memilih laluan ekstrem untuk meraih sokongan masing-masing tetapi cara mereka bakal menghancurkan masa depan negara. Parti-parti lain seperti Gerakan pula cuba bangkit semula setelah ditolak oleh rakyat dalam PRU yang lalu manakala Berjasa hanya membenarkan diri dipergunakan oleh anasir-anasir ekstrem.

Kita perlu ingat bahawa Pakatan Harapan tidak mungkin membentuk kerajaan tanpa kerjasama Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang dan Mohamad Sabu. Malah tanpa korupsi Najib Razak, mustahil rakyat menolak BN untuk memilih Pakatan Harapan. Tanpa gabungan politik jalan tengah Pakatan Harapan, Najib akan kekal di tampuk kuasa, dan rasuah serta kleptokrasi akan terus berleluasa tanpa batasan. 

Namun hari ini, hanya 18 bulan sahaja selepas mendapat mandat, Pakatan Harapan menjadi sasaran maki-hamun pelbagai pihak. Sudah tentu keadaan ini diambil kesempatan oleh pembangkang untuk memarakkan politik perkauman mereka.

Melawan persepsi

Saya merasa empati dengan akar umbi kita yang dimaki dan diserang oleh pihak lawan. Malah rakan-rakan mereka juga marah selepas PRU14, semata-mata persepsi bahawa prestasi Pakatan Harapan mengecewakan. Situasi kini serupa dengan 2016 apabila ramai antara kita merasa tidak ada harapan lagi selepas perpecahan Pakatan Rakyat. Ahli-ahli kita juga dimaki oleh orang ramai. Walau bagaimanapun, saya memohon agar saudara dan saudari sabar dan mempunyai keyakinan terhadap pimpinan parti yang tetap berusaha untuk berjuang atas prinsip-prinsip parti. 

Benarkah kita gagal? Atau kita sendiri hilang keyakinan kerana diserang dengan pelbagai fitnah pembangkang?

Saya tidak menafikan bahawa memang ada kelemahan tetapi sudahkah sampainya masa untuk menolak kerajaan Pakatan Harapan? Adilkah jika kita menyamakan prestasi 18 bulan Pakatan Harapan dengan penguasaan selama 61 tahun oleh Barisan Nasional (dan dahulunya Perikatan)? Apakah kita lebih percaya kempen fitnah berbanding usaha yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan Pakatan Harapan, termasuk usaha membayar semula hutang berbilion ringgit serta ketirisan dan penyelewengan kerajaan lama?

Namun, walaupun fakta dan kebenaran berada di pihak kita, masih ramai yang mahu mempercayai naratif yang berasaskan fitnah dan berita palsu. Apa sebenarnya yang sedang berlaku sekarang? Apa faktor-faktor yang menyumbang kepada persepsi dan keadaan politik yang penuh gelisah ini? 

Sentimen sekarang di kalangan ramai orang Melayu adalah bahawa kerajaan Pakatan Harapan didominasikan oleh Sdr. Lim Guan Eng dan DAP. Benarkah begitu? Adakah anda rasa DAP menguasai dan mendominasi pentadbiran negara ini?

Di kalangan masyarakat bukan Melayu, fitnah yang mereka bawa adalah bahawa Tun Dr. Mahathir Mohamad menguasai segala-galanya sehingga DAP tidak relevan sama sekali. Benarkah begitu? Adakah anda rasa DAP tidak mempunyai sebarang tenaga atau kuasa? Adakah anda rasa kita lemah sehingga tidak berdaya berbuat apa-apa?

Walau apa pun, fitnah yang melahirkan sentimen-sentimen ini adalah benar atau “real”. Sampaikan sudah ada sentimen di kalangan ahli DAP yang merasakan mereka tidak mahu lagi menyokong Bersatu seolah-olah Bersatu adalah musuh. Manakala di kalangan ahli Bersatu pula, ada yang merasakan DAP sebagai beban kepada mereka. Apa tidaknya, mereka diejek dan diserang dengan sentimen bahawa DAP mengancam kedudukan Melayu dan Islam di Malaysia.

Kesatuan dan perpaduan

Tetapi sedarkah kita bahawa DAP memerlukan Bersatu dan Bersatu memerlukan DAP untuk menjayakan Pakatan Harapan dan membina semula Malaysia. Pakatan Harapan adalah gabungan empat parti, iaitu DAP, Bersatu, Keadilan dan Amanah – hanya dengan kesatuan dan perpaduan kesemua parti komponen Pakatan Harapan, barulah kita dapat mewakili semua lapisan dan golongan rakyat. 

Kesatuan dan perpaduan inilah yang amat ditakuti oleh gabungan PAS-UMNO yang turut didukung oleh MCA dan MIC. Kerana jika Pakatan Harapan bersatu padu, gabungan pembangkang tidak lagi relevan.

Mengapa mereka tidak akan relevan jika kita bersatu padu? Kerana hanya Pakatan Harapan, sejak Mei tahun lalu, mengemukakan pelbagai tawaran dan pelaksanaan idea yang bernas untuk rakyat dalam pelbagai bidang, khususnya ekonomi.

Kita inginkan semua rakyat berpeluang menikmati pekerjaan yang baik dengan gaji berpatutan, peluang perniagaan yang baik dan menguntungkan, pendidikan yang berkualiti, jaminan keselamatan, kesihatan dan kepentingan bersama lain. Ini sudah kita janjikan dan sedang kita laksanakan.

Sudah tentu ia tidak boleh dilaksanakan dalam masa setahun atau dua tahun sahaja kerana struktur pentadbiran negara telah dirosakkan oleh Barisan Nasional, terutamanya sejak pentadbiran Najib sejak satu dekad yang lalu. Proses reformasi institusi dan tumpuan jentera kerajaan memerlukan masa untuk melaksanakannya.

Ini yang sedang dan akan terus dilaksanakan oleh kerajaan Pakatan Harapan. Tetapi apa pula yang dilakukan oleh pembangkang? Adakah mereka mengemukakan idea bernas untuk kebaikan rakyat? Tidak! Malah, apabila Belanjawan 2020 disediakan oleh kerajaan Pakatan Harapan menjadi hadiah untuk rakyat dan golongan pekerja serta berpendapatan sederhana, apa yang ditawarkan oleh BN dan PAS? Tidak ada apa-apa. Untuk menyediakan Belanjawan Alternatif pun mereka tidak mampu.

Politik pembangkang

Jadi apa yang pembangkang buat? Sejak dulu lagi, senjata mereka adalah politik perkauman. Melalui pelbagai media dan kaedah, mereka menyebarkan fitnah dan politik benci. Mereka melaga-lagakan kaum dan agama. Yang sedihnya, ada antara ahli Pakatan Harapan yang termakan dengan racun politik kotor seperti ini.

Yang saya maksudkan adalah ada antara ahli Pakatan Harapan yang mahu melawan politik rasis dengan bertindak secara “api lawan api” atau “fight fire with fire”. Ini akan memburukkan keadaan. Dan inilah yang dimahukan oleh pihak pembangkang untuk membuktikan bahawa kita sama seperti mereka.

Hanya politik benci kaum menjadi permainan mereka. Bayangkan jika mereka kembali berkuasa, apa yang kita oleh harapkan daripada ideologi perkauman ini? Adakah kembalinya BN sebagai kerajaan – yang disokong sepenuhnya oleh PAS – akan menjadikan Malaysia lebih baik daripada hari ini? Apakah keadilan, kestabilan dan keharmonian akan wujud jika PAS dan BN dibenarkan berkuasa?

Sebenarnya sentimen di kalangan Melayu dan bukan Melayu adalah seperti pantulan cermin atau “mirror reflection”. Jika kita membenarkan emosi menguasai diri, dan jika jalan ekstrem menjadi pilihan, apakah agaknya kesudahan untuk kita? Apakah jaminan masa depan untuk DAP?

 Sebagai parti pemerintah, ahli-ahli kita harus memainkan peranan untuk menjelaskan pelbagai inisiatif dan dasar kerajaan kepada orang ramai supaya mesej kerajaan dapat disalurkan kepada semua lapisan masyarakat secara berkesan. Akar umbi parti adalah pengantara yang amat penting bagi kerajaan dengan rakyat. Pemimpin parti memerlukan akar umbi untuk menyampaikan mesej dan sentimen masyarakat kepada mereka supaya dapat terus memperbaiki segala usaha yang dijalankan.

Dalam era kebebasan media ini, kebanyakan media masih di tahap pemikiran lama. Pemilik media masih memihak kepada rejim lama yang diketahui korup, atau setidak-tidaknya masih beroperasi dalam kerangka pemikiran perkauman. Kebebasan ini telah disalahgunakan oleh sesetengah pihak yang keliru dengan amalan kebebasan dan sikap bertanggungjawab.

Selain kelemahan amalan media hari ini, tidak mustahil juga wujudnya elemen “deep state” atau kuasa gelap dalam sistem pentadbiran yang cuba menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan dari dalam. Masih ada pihak-pihak yang berjiwa perkauman yang tidak senang melihat usaha Pakatan Harapan yang mahu rakyat bersatu padu tanpa mengira kaum, agama dan wilayah.

Mencari penyelesaian

Jadi, apakah jalan penyelesaian untuk Malaysia yang kita cintai ini? Bagi saya, jawapannya ada dalam diri setiap rakyat yang sayangkan negara dan mahu melihat tanah air kita aman, makmur dan harmoni. Yang saya maksudkan adalah perlunya satu usaha semua pihak untuk membina jalan tengah.

Yang diperlukan adalah objektif bersama. Sebelum PRU14 kita mempunyai matlamat yang sama, iaitu untuk menumbangkan Najib. Selepas pilihan raya, kita memerlukan naratif dan matlamat bersama untuk membina negara kita untuk masa depan. 

Dalam usaha membina Malaysia, apa yang penting ialah kita mesti sedar bahawa walaupun wujud perbezaan budaya, bahasa dan etnik, sebenarnya hasrat dan aspirasi rakyat Malaysia hampir sama, iaitu kita mahu kehidupan yang lebih baik, kita mahu ekonomi yang kukuh, kita mahu keadaan politik yang stabil yang mampu menyediakan pekerjaan dan peluang ekonomi. Kita tidak mahu negara menjadi kacau-bilau dan kita tidak suka sikap benci-membenci antara satu sama lain.

Parti-parti Pakatan Harapan mesti menerima hakikat bahawa kita tidak akan menjadi lebih Melayu daripada UMNO, lebih Islam daripada PAS, lebih Cina daripada MCA, dan lebih India daripada MIC. Kita akan lebih kuat jika kita berada di jalan tengah untuk memenuhi harapan rakyat Malaysia yang hampir sama aspirasi kita.

Pilihan berada di tangan kita, sama kita mahu menjadi kerajaan separuh penggal atau melebihi satu penggal. Jika kita membenarkan emosi menguasai diri kita – dan mula menyerang sesama parti – ia bererti kita memang mahu menjadi kerajaan separuh penggal. Apabila ini berlaku, Pakatan Harapan akan pecah belah. Malah lebih teruk lagi, PAS dan BN boleh berkuasa jika kita mengalah di separuh penggal. MCA juga memainkan peranan dalam membantu PAS dan UMNO memecah belahkan kerajaan Pakatan Harapan.

Namun, sama ada kita kekal sebagai kerajaan untuk jangka masa yang lebih lama, ia terpulang kepada diri kita sendiri. Jika kerajaan Pakatan Harapan pecah dan hancur separuh jalan, kesannya bukan setakat kepada DAP atau parti-parti komponen. Apa yang amat saya bimbang ialah nasib Malaysia sendiri. Jika kita tewas, negara akan kacau-bilau kerana pembangkang tidak ada sebarang perancangan serius untuk mentadbir. Senjata mereka hanyalah politik benci seperti yang kita lihat hari ini. Apakah mereka mampu mentadbir negara dengan politik benci ini?

Pembangkang hanya mampu menganggu dan memburukkan keadaan. Mereka tidak berminat untuk membina negara. Mereka hanya pentingkan diri dan para pemimpin mereka sahaja. Malah, jika negara ini terjemurus ke dalam kancah huru-hara pun mereka tidak peduli asalkan mereka dapat berkuasa kembali.

Yakinlah, DAP teguh berpadu bersama Pakatan Harapan kerana gabungan politik kita adalah tonggak kestabilan. Kita bukan lemah apabila kita berpegang kepada prinsip demokrasi dan keadilan. Malah, kita kukuh dan gagah apabila kita menolak politik benci, rasuah dan salah guna kuasa. DAP berpegang teguh kepada ideologi sosial demokrasi, dan akan terus bersolidariti bersama rakan-rakan seperjuangan kita dalam Pakatan Harapan.

Jika kita mensia-siakan peluang ini semata-mata kerana terpengaruh dengan suara-suara dalam media sosial, ia bererti kita akan membiarkan diri dan parti kita dipermainkan oleh pihak lawan. Sedarlah, kerajaan Pakatan Harapan bersungguh-sungguh dalam usaha reformasi. Mungkin kerana kelemahan media atau kurangnya keberkesanan komunikasi menyebabkan usaha murni tenggelam kerana propaganda perkauman.

Sebagai contoh, seperti yang disebutkan awal tadi, walaupun Belanjawan 2020 dipuji oleh semua pihak, ia jarang menjadi topik perbualan kerana ditenggelamkan oleh emosi dan api perkauman. Jika kita sendiri gagal berkongsi berita baik Belanjawan 2020, dan sebaliknya terikut-ikut dengan sentimen perkauman yang ditimbulkan oleh pembangkang, ia seperti kita menembak kaki sendiri.

Peranan penting Johor

Negeri Johor amat penting bagi kerajaan Pakatan Harapan. Pada PRU yang lalu, kita menang 18 daripada 26 kerusi parlimen Johor. Pakatan menang 98 kerusi parlimen di semenanjung, Hanya dengan kemenangan PH di Johor, kita berjaya menubuhkan kerajaan persekutuan yang baru menggantikan Barisan Nasional.

Amat penting untuk kita mempunyai kerangka idea yang baru bagi negeri Johor. Saya menyeru agar Kerajaan Persekutuan menitikberatkan Johor Selatan sebagai gerbang ekonomi yang utama di Malaysia. Rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang, kaum dan wilayah menetap di Johor Selatan untuk peluang pekerjaan yang lebih lumayan. Sebagai salah satu penjana ekonomi utama negara, Johor seharusnya mendapat perhatian dan inisiatif pembangunan yang setimpal dari kerajaan persekutuan.

DAP Johor menyokong penuh pengumuman untuk meneruskan projek Laluan Sistem Transit Rapid (RTS) yang menghubungkan Johor Bahru dan Singapura. Kami yakin projek ini dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di Tambak Johor dan Linkedua. Kami telah membangkitkan isu kesesakan ini serta mengemukakan cadangan penambahbaikan sejak 2014.  Sehubungan dengan itu, DAP Johor menjunjung kasih atas pekenan Sultan Johor, DYMM Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar untuk menyerahkan tanah di Bukit Chagar kepada Putrajaya tanpa kos untuk menjayakan projek RTS ini demi kesejahteraan rakyat. Pengurangan kos bagi projek ini sebanyak 36 peratus kepada RM 3.16billion berbanding harga asal RM4.93 billion turut membuktikan kesungguhan kerajaan Pakatan Harapan untuk mengurangkan ketirisan dan memastikan perbelanjaan berhemah bagi projek-projek besar.

Walaupun Johor sering dilihat sebagai negeri yang maju oleh perancangan Kerajaan Persekutuan, pendekatan yang berbeza diperlukan untuk kawasan Johor Tengah dan Johor Utara yang terdiri daripada kawasan desa dan luar bandar. Fokus pembangunan dan dasar kerajaan perlu dilihat dari perspektif yang berlainan daripada Johor Selatan.

Saya menyeru agar ahli-ahli DAP di kawasan Johor Tengah dan Johor Utara mengambil inisiatif untuk memacu pembangunan ekonomi tempatan melalui usaha komuniti setempat. Satu usaha yang harus dipuji adalah inisiatif Ketua Masyarakat Kampung Baru Grisek yang sedang menjalankan usaha pembangunan setempat dengan kerjasama seluruh warga kampung dan sokongan daripada ADUN mereka yang juga merupakan Menteri Besar Johor.

Akhir kata, Pakatan Harapan akan terus berjuang untuk mengekalkan kestabilan, menjamin keamanan dan membawa kemakmuran. Kita mahu membina Malaysia melalui pembinaan jalan tengah. Kita akan tegas menolak politik ekstrem yang dibawakan oleh pembangkang. Masa depan Malaysia lebih terjamin bersama Pakatan Harapan. – Roketkini.com