Berita

Kempen secara bersih, usah guna fitnah dan tohmahan

Pihak yang bertanding dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai diingatkan supaya tidak menggunakan sentimen kaum dan agama, sebaliknya bersaing secara bersih dengan mengemukakan dasar yang terbaik untuk pengundi. 

“Biar kempen ini berjalan tanpa isu-isu sentimen. Marilah kita berkempen secara bersih, lawan satu sama lain berdasarkan dasar, bukan bertanding atas dasar fitnah dan tohmahan yang tidak berasas.

“Kita bertanding mana parti yang bersih, tak terlibat dengan rasuah, parti mana yang mampu bayar gaji kakitangan kerajaan. Mari kita bertanding atas kemampuan dan keupayaan menguruskan ekonomi,” kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Beliau berkata demikian selepas tamat proses penamaan calon PRK Tanjung Piai di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Pontian, baru-baru ini. 

Pakatan Harapan mempertaruhkan Ketua Bersatu Bahagian Tanjung Piai, Karmaine Sardini, 66 yang akan berdepan pertandingan enam penjuru. 

Karmaine yang merupakan bekas guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teluk Kerang, Tanjung Piai akan berdepan Wee Jeck Seng dari MCA, Wendy Subramaniam (Gerakan), Dr Badrulhisham Abdul Aziz (Berjasa), serta calon Bebas, Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Ab Ghaffar.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh kempen selama 14 hari bermula Sabtu dengan tarikh mengundi pada 16 November sementara pengundian awal akan dijalankan pada 12 November.

Parlimen Tanjung Piai mempunyai seramai 52,986 orang pengundi berdaftar, dengan 56.88% atau 30,141 adalah pengundi Melayu, Cina (41.52% atau 22,000 pengundi), India (satu peratus atau 532 pengundi) dan Bumiputera Sabah (0.09% atau 47 pengundi). – Roketkini.com