Berita

Kit Siang seru pengundi Tg Piai buktikan pembangkang salah, 1MDB bukan berita palsu

Pengundi Tanjung Piai mengalas tugas penting dalam pilihan raya kecil pada 16 November nanti bagi menghantar mesej yang jelas kepada pembangkang bahawa skandal 1MDB yang kini dalam perbicaraan di mahkamah bukanlah suatu berita palsu seperti yang didakwa mereka.

Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang berkata demikian sebagai reaksi terhadap kenyataan pemimpin Muafakat Nasional dan Barisan Nasional (BN) di Parlimen yang mendakwa skandal 1MDB adalah berita palsu kerana kononnya belum dibuktikan. 

“Amat mengejutkan apabila pemimpin Muafakat Nasional dan BN mendakwa bahawa skandal 1MDB masih belum dibuktikan, meskipun negara terpaksa berjimat cermat untuk membayar RM9 bilion hutang 1MDB sejak dua tahun lalu, dan hutang 1MDB kini mencecah RM50 bilion. 

“Jika Malaysia tidak perlu membayar berbilion-bilion ringgit hutang 1MDB sejak dua tahun lalu, dan berbilion-bilion ringgit lagi bunga terkumpul daripada hutang 1MDB untuk tahun-tahun akan datang, wang-wang ini boleh dibelanjakan untuk membina lebih banyak jalan raya, sekolah dan hospital bagi meningkatkan kualiti hidup semua rakyat Malaysia.”

“Justeru, pengundi Tanjung Piai mengalas tugas nasional dalam pilihan raya kecil pada 16 November nanti bagi membuktikan Muafakat Nasional dan BN salah, kerana skandal 1MDB bukanlah berita palsu sebaliknya merupakan suatu babak terburuk dalam sejarah Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Tambah Kit Siang, sehingga kini, sejumlah RM925.1 juta dana yang didakwa diselewengkan daripada 1MDB telah berjaya dikembalikan, yang mana tidak termasuk penjualan kapal layar persiaran mewah, Equanimity bernilai RM529.2 juta. 

Malah, watak penting skandal 1MDB, Jho Low juga telah memulangkan aset AS$1 bilion yang didakwa diseleweng daripada 1MDB. 

“Jika skandal 1MDB adalah berita palsu dan cerita rekaan pemimpin Pakatan Harapan, maka dari mana datangnya berbilion-bilion ringgit dana berkaitan 1MDB, yang telah dikembalikan dan akan dikembalikan, itu?

“Biar ahli Parlimen dan pemimpin politik Muafakat Nasional dan BN menjawab persoalan ini,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri. – Roketkini.com