Berita

Mahkamah digesa fail prosiding hina mahkamah terhadap Zahid Hamidi

Ahmad Zahid Hamidi didakwa membuat penghinaan terhadap mahkamah dalam ceramahnya di Tanjung Piai, semalam. 

Presiden UMNO itu mendakwa kerajaan bersikap “double standard” dalam kes jurujual wanita yang dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Johor Baharu daripada tuduhan memandu secara melulu hingga mengakibatkan kematian lapan remaja berbasikal lajak.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh berkata, kenyataan pemimpin UMNO itu boleh menjejaskan keyakinan awam terhadap badan kehakiman dan memberi gambaran salah bahawa kononnya terdapat campur tangan kerajaan.

Beliau justeru menggesa Peguam Negara atau Majistret yang membuat penghakiman tersebut agar memulakan prosiding penghinaan mahkamah terhadap Ahmad Zahid. 

“Awal tahun ini, peguam Arun Kasi telah dikenakan hukuman penjara dan denda oleh Mahkamah Persekutuan kerana menghina mahkamah apabila membuat kritikan tidak wajar terhadap keputusan mahkamah.

“Justeru itu, kenyataan Ahmad Zahid itu adalah sama, jika tidak begitu serius, dan tidak harus terlepas daripada tindakan undang-undang. Jika Arun Kasi dihukum kerana menghina mahkamah, tidak ada sebab mengapa Ahmad Zahid tidak boleh dikenakan tindakan serupa,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini. 

Majistret Siti Hajar Ali membebaskan Sam Ke Ting, 24, tanpa memanggilnya membela diri terhadap pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.

Malah, Siti Hajar berkata mahkamah mengambil kira beberapa faktor iaitu jalan yang gelap, berbukit dan berliku menyebabkan pemandu tidak dapat meramalkan bahawa akan ada kumpulan kanak-kanak di jalan raya pada jam tiga pagi. 

Tambahan pula, Majistret berkata bahawa kumpulan berbasikal itu meletakkan diri mereka dalam bahaya. – Roketkini.com