Berita, Rencana

Zahid Hamidi guna politik kebencian, perkauman di Tg Piai

Meskipun Barisan Nasional (BN) mengakui mereka tidak mengamalkan politik perkauman dengan meletakkan seorang calon dari parti Cina iaitu MCA, kenyataan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi pula memperlihatkan sebaliknya.

Ahmad Zahid di pentas ceramah kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai semalam, mempersoalkan tindakan Mahkamah Majistret Johor Bahru melepas dan membebaskan seorang jurujual wanita daripada tuduhan memandu secara melulu hingga mengakibatkan kematian lapan remaja berbasikal lajak pada 18 Feb 2017 lalu.

Mengapa perkara ini dibangkitkan oleh Ahmad Zahid? Tidak lain dan tidak bukan untuk mewujudkan kebencian antara kaum kerana wanita tersebut adalah Cina. Ironinya, BN sendiri meletakkan calon dari MCA yang merupakan seorang Cina. Yang lebih menghairankan, pemimpin MCA yang duduk sepentas dengan Ahmad Zahid hanya berdiam diri, seperti mana mereka berdiam diri sehingga kini berhubung skandal 1MDB yang membabitkan Najib Razak.

Untuk rekod, Majistret Siti Hajar Ali membebaskan Sam Ke Ting, 24, tanpa memanggilnya membela diri terhadap pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.

Malah, Siti Hajar berkata mahkamah mengambil kira beberapa faktor iaitu jalan yang gelap, berbukit dan berliku menyebabkan pemandu tidak dapat meramalkan bahawa akan ada kumpulan kanak-kanak di jalan raya pada jam tiga pagi. Tambahan pula, Majistret berkata bahawa kumpulan berbasikal itu meletakkan diri mereka dalam bahaya.

Majistret membuat penghakim berdasarkan undang-undang, tanpa mengira warna kulit seseorang.

Tidakkah tindakan Ahmad Zahid mempersolakan keputusan mahkamah itu sebagai suatu tindakan menghina mahkamah? Tapi apa yang lebih buruk, kenyataan Ahmad Zahid itu membuktikan bahawa UMNO dan kuncunya PAS tidak akan sama sekali terpisah dengan permainan politik perkauman dan kebencian. – Roketkini.com