Berita, Rencana

Video Papagomo menjurus kepada ucapan kebencian, khianat awam – Syahredzan

Oleh Syahredzan Johan

(Peguam, Setiausaha Politik Ahli Parlimen Iskandar Puteri)

Saya merujuk kepada sedutan video yang menampilkan Exco Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai ‘Papagomo’ yang tidak diketahui tarikhnya. Video tersebut sedang tular pada hari ini.

Dalam video tersebut (sekiranya ia tulen), Papagomo telah menzahirkan hasratnya untuk menarik hak mengundi rakyat Malaysia etnik Cina dan India sekiranya ‘penyatuan ummah’ menjadi kejayaan dengan meminda Perlembagaan Persekutuan.

Cadangan yang melampau!

Syahredzan Johanさんの投稿 2019年11月13日水曜日

Harus ditegaskan bahawa hak untuk mengundi adalah hak yang dijamin dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan untuk setiap rakyat Malaysia, tidak kira etnik, agama, kelas sosial dan lain-lain. Ianya adalah hak asasi yang diberikan kepada semua rakyat Malaysia, tanpa pengecualian.

Sekiranya cadangan seperti ini mendapat sokongan dua pertiga ahli Parlimen dalam kerajaan yang diimpikan oleh Papagomo sekalipun, ianya bertentangan dengan doktrin ‘struktur asas Perlembagaan’ (basic structure doctrine). Doktrin ini telah dinyatakan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Semenyih Jaya Sdn Bhd lwn Pentadbir Tanah Daerah Hulu Langat iaitu apa-apa pindaan yang bertentangan dengan struktur asas ini adalah tidak berperlembagaan (unconstitutional).

Kata-kata Papagomo itu juga menjurus kepada ucapan kebencian (hate speech) kerana mahu membeza-bezakan rakyat Malaysia dengan taraf yang berlainan mengikut kaum. Kata-kata tersebut juga berkemungkinan melanggar Seksyen 505 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan membuat kenyataan yang mendatangkan khianat awam (public mischief).

Semua pihak, terutama sekali pemimpin parti politik, digesa untuk tidak membuat kenyataan-kenyataan seperti ini yang memburukkan lagi hubungan antara kaum dan mengganggu-gugat keharmonian yang kita kecapi. – Roketkini.com