Berita

Kerajaan PH beri pelepasan duti import, pengurangan SST untuk kerusi keselamatan kanak-kanak

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memaklumkan bahawa kerajaan bersetuju untuk memberi pelepasan duit import dan pengurangan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak lima peratus bagi kerusi keselamaan kanak-kanak (CRS). 

Menurut beliau, pengurangan SST daripada jumlah asal 10 peratus kepada lima peratus itu sudah mendapat kelulusan Kementerian Kewangan dan sedang melalui proses semakan Jabatan Peguam Negara bagi tujuan pewartaan. 

Tambahnya, inisiatif yang diberikan kerajaan ini adalah bertujuan untuk mengalakkan ibu bapa memasang CSR dalam kenderaan sebelum peraturan mewajibkannya bermula 1 Januari tahun depan. 

“Keselamatan di jalan raya adalah tanggungjawab semua pihak termasuk orang awam dan pihak swasta.

“Justeru, semua pihak perlu menyokong usaha kerajaan untuk mewajibkan pemasangan kerusi keselamatan kanak-kanak dalam kenderaan,” katanya di Dewan Rakyat, semalam.

Tambah Anthony, tiada saman yang akan dikeluarkan kepada ibu bapa yang gagal menggunakan CRS dalam tempoh enam bulan pertama pelaksanaannya. 

Menurut beliau, ia adalah sebahagian daripada usaha kementerian dalam mengambil pendekatan mendidik sebelum mengambil langkah penguatkuasaan. 

“Saya faham mentaliti rakyat Malaysia…kalau kita cakap tak wajib, memang takkan ada ramai yang buat (laksana). Kajian Institut Penyelidikan Jalan Raya Malaysia (MIROS) mendapati hanya 30 peratus pemilik kenderaan yang pasang kerusi keselamatan kanak-kanak.

“Apa yang penting kita beri kesedaran dan nasihat… kalau belum pasang (CRS), jangan saman dahulu, beri amaran dan peringatan,” katanya.

Malah, beliau menegaskan bahawa langkah penguatkuasaan itu bukanlah keputusan yang tergesa-gesa, tetapi telah lama disarankan MIROS sejak dua atau tiga tahun lalu. – Roketkini.com