Berita

Fasa pertama BSH 2020 diagih mulai 20 Januari

*Kenyataan Media oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng

Seperti yang diumumkan dalam Ucapan Belanjawan 2020, Kerajaan akan meneruskan program Bantuan Sara Hidup (BSH) bagi menjamin kesejahteraan ekonomi rakyat dengan membantu golongan berpendapatan rendah (B40) meringankan kos sara hidup mereka. Bagi membuktikan keprihatinan Kerajaan Pakatan Harapan terhadap golongan ini dan seterusnya memberi impak yang tinggi kepada rakyat, pembayaran fasa pertama BSH 2020 akan dilaksanakan mulai 20 Januari 2020 (Isnin) kepada penerima BSH yang berdaftar (kategori isi rumah) di dalam pangkalan data BSH 2019 seperti berikut: 

Pangkalan data BSH 2019 telah melalui beberapa proses tapisan daripada Agensi Kerajaan antaranya status pemilikan kenderaan yang realistik bagi golongan berpendapatan rendah (B40) bagi memastikan mereka yang memerlukan sahaja menerima BSH 2020. Peruntukan yang terlibat adalah sebanyak RM1.0 bilion dan memanfaatkan hampir 3.8 juta penerima BSH (kategori isi rumah). Pembayaran fasa pertama sebanyak RM300 bagi setiap isi rumah akan dikreditkan terus ke akaun bank masing-masing menggunakan maklumat akaun bank semasa BSH 2019. 

Bagi memastikan program BSH 2020 disasarkan kepada mereka yang benar-benar layak, tempoh permohonan dan pengemaskinian akan dibuka mulai 1 Februari 2020 hingga 15 Mac 2020. Selain daripada kategori isi rumah, permohonan untuk BSH 2020 juga dibuka bagi kategori bujang berumur 40 tahun dan ke atas seperti yang diumumkan dalam Ucapan Belanjawan 2020. Pemohon tidak perlu membuat permohonan baharu/kemaskini sekiranya: 

i. Permohonan BSH 2019 yang lulus dan tiada sebarang perubahan maklumat; dan 

ii. Pemohon Orang Kurang Upaya (OKU) yang tersenarai sebagai penerima e-Bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). 

Walau bagaimanapun, pemohon perlu membuat permohonan baharu/ kemaskini sekiranya: 

i. Pemohon yang belum membuat pendaftaran Permohonan BSH(Kategori Baharu); 

ii. Permohonan BSH 2019 yang tidak lulus dan menepatisyarat kelayakan BSH 2020; dan 

iii. Permohonan OKU yang tidak tersenarai sebagai e-Bantuan JKM dan menepati syarat kelayakan BSH 2020. 

Setelah pangkalan data BSH 2020 dikemaskini, baki pembayaran BSH 2020 bagi kategori isi rumah akan disalurkan pada fasa kedua dan ketiga manakala bagi kategori bujang dan OKU pula akan disalurkan secara one-off pada fasa kedua. Dengan adanya proses permohonan dan pengemaskinian ini, sebahagian daripada kalangan yang tidak lulus dan belum menerima BSH masih diberi ruang untuk mengemukakan permohonan untuk dibuat verifikasi semula. 

Penerima BSH di kawasan pedalaman (kategori isi rumah) yang mempunyai akaun bank akan turut menerima pembayaran ini pada tarikh yang sama, manakala bagi penerima pedalaman yang tiada akaun pula akan dibuat mulai 1 Februari 2020 secara tunai. Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut, boleh menghubungi talian bebas tol 1800-88-2747 serta emel kepada [email protected]. – Roketkini.com