Berita, Rencana

Kerajaan PH terus berusaha letak negara di landasan tepat

Oleh Mohammed Sofian

Pelbagai usaha dilaksanakan oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam melonjakkan pencapaian negara ini sejak memegang tampuk pemerintahan pada 9 Mei 2018.

Walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran, kerajaan menerusi Kementerian Kewangan terus komited dengan agenda mereformasikan pentadbiran kewangan negara.

Sistem pentadbiran negara terus dipastikan cekap, berwibawa dan telus supaya ekonomi negara terus mampan serta berdaya saing selain melakar pelbagai kejayaan besar.

Buktinya, pada tahun lalu pelbagai kejayaan telah dikecapi oleh Kerajaan PH hasil daripada pentadbiran bersih, amanah, cekap dan adil yang dilihat penting dalam usaha membawa Malaysia ke arah kegemilangannya.

Proses pemulihan fiskal dan kewangan yang dilaksanakan oleh PH berupaya meletakkan negara ke landasan betul dalam menjadi sebuah negara maju.

Ini terutama selepas Kerajaan PH mewarisi masalah kewangan dan hutang yang ditinggalkan oleh Barisan Nasional (BN) yang telah mencacatkan usaha Malaysia untuk menjadi negara maju pada tahun ini.

Sehubungan itu, adalah penting untuk kita gariskan kejayaan-kejayaan yang dilaporkan dicapai oleh syarikat kerajaan PH pada 2019, dalam usaha mengingatkan kita bahawa usaha-usaha kerajaan selama ini membuahkan hasil dan memanfaatkan rakyat Malaysia.

Contoh kejayaan itu boleh dilihat pada prestasi FGV Holdings Bhd. (FGV) yang menyaksikan sahamnya naik sebanyak 104.69%.

Saham-saham FGV telah naik dari RM0.64 pada 2018 kepada RM1.31 pada 26 November 2019

Sementara itu, syarikat petroleum negara, Petronas mencatat keuntungan RM36.4 bilion dalam sembilan bulan pertama 2019.

Syarikat Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) berjaya meraih keuntungan bersih RM197.87 juta dalam suku ketiga 2019 iaitu peningkatan daripada RM168.49 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

Perkembangan ini dikatakan didorong oleh peningkatan jumlah penumpang di Malaysia sebanyak 8.9%.

Dalam pada itu, DRB-HICOM berjaya mencatat ‘turnover’ sebanyak RM51.5 juta bagi mencapai keuntungan RM40.08 juta dalam suku kedua 2019 berbanding kerugian RM11.42 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

Tabung Haji pula kini mempunyai keuntungan bersih sebanyak RM1.3 bilion bagi tempoh Januari hingga September 2019.

Kejayaan-kejayaan di atas merupakan sebahagian daripada pencapaian cemerlang tahun lalu yang ditunjukkan oleh syarikat-syarikat kerajaan yang di bawah teraju PH.

Insentif menarik tahun ini

Oleh itu, pada 2020, banyak insentif menarik telah diberikan oleh Kerajaan PH kepada rakyat Malaysia menerusi Belanjawan 2020 iaitu merangkumi:

Pemberian vaksin pneumokokal kepada semua kanak-kanak melibatkan peruntukan permulaan sebanyak RM60 juta.

Langkah ini dilihat sebagai keputusan bijak kerajaan menurunkan jumlah kematian dan pelbagai penyakit membabitkan sistem pernafasan dalam kalangan kanak-kanak.

Selain itu, rakyat pada tahun ini menikmati diskaun sebanyak 18% di lebuh raya milik Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) Malaysia Berhad, yang mana langkah itu melegakan banyak pihak terutamanya pengguna.

Skim insurans percuma MySalam pula akan diperluaskan kepada golongan M40 yang mempunyai pendapatan kasar tahunan sehingga RM100,000.

Dari aspek gaji minimum, kerajaan akan menaikkan kadar RM1,100 sebulan kepada RM1,200 sebulan di bandar-bandar besar pada tahun ini selaras dengan komitmen Kerajaan Pakatan Harapan untuk menambah baik kehidupan rakyat, terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah.

Kerajaan juga terus komited dalam melabur demi masa depan anak-anak dalam bidang pendidikan dan menyediakan pendidikan berkualiti. Ini jelas dibuktikan dengan peruntukan RM64.1 bilion kepada Kementerian Pendidikan pada 2020 berbanding RM60.2 bilion pada 2019.

Penjawat awam tetap menikmati peruntukan iaitu bantuan khas RM500 dan RM250 kepada pesara selain kadar COLA dinaikkan kepada RM50 sebulan.

Ini ditambah juga dengan peningkatan cuti bersalin kepada 90 hari daripada 60 hari.

2020:  Terus berusaha

Semua insentif ini dijalankan semata-mata untuk memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terbela oleh pihak kerajaan. Dengan pelbagai program direncanakan oleh kerajaan, rakyat pastinya bakal menikmati pelbagai manfaat lagi dari semasa ke semasa.

Sehubungan itu, adalah penting untuk rakyat tanpa mengira latar belakang kaum dan agama untuk bersama-sama menyokong dan mendukung aspirasi kerajaan dalam melonjakkan lagi pencapaian negara pada masa depan. – Roketkini.com