Berita, Rencana

Penghayatan Rukun Negara kunci perpaduan kaum

Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang hari ini menzahirkan rasa kesal dengan sikap segelintir pihak yang dengan berani mengutarakan pandangan berbaur ekstrem sehingga mewujudkan perpecahan antara kaum dan agama di negara ini. 

Sebagai contoh, katanya, baru-baru ini terdapat individu yang merupakan seorang rakyat Malaysia menyatakan secara terbuka dan penuh rasa bangga bahawa dirinya mempunyai sifat perkauman, malah menuduh semua orang mempunyai sikap yang sama. 

“Kita seolah-olah bergerak keterbelakang dalam soal pembinaan negara. Mengapa ini terjadi?

“Ada beberapa sebab, tetapi satu sebab yang paling penting adalah kerana rakyat Malaysia seakan-akan lupa tentang kepentingan dokumen kebangsaan paling asas yang membentuk pembinaan negara bangsa Malaysia, tak kira Perlembagaan Persekutuan mahupun Rukun Negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Sehubungan itu, katanya, terdapat keperluan segera untuk semua rakyat Malaysia menghayati semula kandungan serta semangat Rukun Negara. 

“Jika kita kekal setia dan tekal dengan kelima-lima prinsip Rukun Negara, kita tidak mungkin akan menghadapi segala macam rasa putus asa, rasa aib, rasa malu dan ketidakadilan ekoran digelar sebagai kleptokrasi global oleh masyarakat dunia sejak dekad lalu. 

“Jika kita kekal setia dan tekal dengan prinsip dan objektif Rukun Negara, kita akan menjadi lebih progresif, berjaya dan bersatu-padu berbanding hari ini,” ujarnya. 

Berikut adalah prinsip dan objektif Rukun Negara:

Bahawasanya negara kita Malaysia mendukung cita-cita hendak:

  • Mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakatnya
  • Memelihara cara hidup demokratik
  • Mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara akan dapat dinikmati secara adil dan saksama
  • Menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak
  • Membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden

Maka kami rakyat Malaysia berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan atas prinsip-prinsip yang berikut:

  • Kepercayaan kepada Tuhan
  • Kesetiaan kepada Raja dan Negara
  • Keluhuran Perlembagaan
  • Kedaulatan Undang-undang
  • Kesopanan dan Kesusilaan – Roketkini.com