Berita

Kit Siang sahut seruan Anwar: Usah bicara soal peralihan kuasa secara terbuka

Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang hari ini menyahut seruan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar semua pihak dalam Pakatan Harapan (PH) tidak membicarakan soal peralihan kuasa secara terbuka.

Kata Kit Siang, PH perlu menumpukan segala usaha menunaikan janji-janji dalam manifesto pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu.

“Sudah tentu, ia termasuk salah satu janji PH yang dilihat paling penting iaitu memastikan peralihan kuasa daripada Perdana Menteri ke-7, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada PM ke-8, iaitu Anwar berjalan dengan lancar dan berjaya,” katanya. 

Anwar dalam kenyataan hari ini meminta agar semua pihak menghormati konsensus berhubung peralihan kuasa yang telah disepakati pada Januari 2018.

Beliau turut memberi jaminan untuk menyokong usaha pentadbiran Mahathir dalam mengukuhkan ekonomi.

“PH dan Tun Dr Mahathir telah berulang kali menegaskan komitmen untuk menjayakan proses transisi seperti yang dipersetujui.

“Maka sewajarnya kita turut menghormati keputusan tersebut agar ianya berlaku secara aman dan teratur,” katanya.

Dalam pada itu, Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri menegaskan soal peralihan kuasa harus ditentukan sepenuhnya oleh Majlis Presiden PH meskipun tiada keperluan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan isu itu. – Roketkini.com