Berita, Rencana

PH sebulat suara sokong Anwar PM ke-8

*Kenyataan Media Majlis Presiden Pakatan Harapan pada 26 Februari 2020

Hari ini Ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan daripada KEADILAN, DAP dan Amanah telah mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri bagi kerajaan Pakatan Harapan. 

Sejak cubaan untuk menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan hujung minggu lalu, kami terus berusaha untuk mempertahankan mandat rakyat Malaysia pada 9 Mei 2018. 

Kerajaan tersebut terbentuk sebagai sebuah gabungan yang diikat dengan Muafakat Pakatan Harapan yang telah dicapai pada 7 Januari 2018; diikuti pelancaran Buku Harapan (Manifesto) Pakatan Harapan pada 8 Mac 2018. Di atas asas ini lah Pakatan Harapan dibentuk, diberi mandat oleh rakyat dan menjalankan amanah sebagai kerajaan. 

Pakatan Harapan tidak bersetuju dengan sebarang usaha untuk menubuhkan kerajaan secara pintu belakang. 

Ekoran cubaan menubuhkan kerajaan secara pintu belakang Tun Dr Mahathir telah meletak jawatan sebagai PM. Keputusan BERSATU keluar dari Pakatan Harapan pada Isnin lalu disusuli peletakan jawatan Tun sebagai Pengerusi BERSATU. 

Sehubungan itu, Majlis Presiden Pakatan Harapan telah menjemput Tun Dr Mahathir untuk mempengerusikan mesyuarat itu bagi memulihkan kerajaan Pakatan Harapan, namun Tun tidak bersetuju untuk hadir dalam mesyuarat tersebut pada hari petang Selasa, 25 Februari. 

Justeru itu, keputusan Majlis Presiden semalam telah menetapkan bahawa calon Perdana Menteri Pakatan Harapan ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Pakatan Harapan kekal komited terhadap aspirasi dan amanat rakyat untuk membawa negara ke arah yang lebih baik dari segenap sudut ekonomi, politik dan sosial. Kami tidak akan mengkhianati amanah ini. – Roketkini.com