Berita, Rencana

Kerajaan PH kerja keras penuhi janji manifesto

Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berkata telah banyak yang dilakukan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat sejak 21 bulan yang lepas. 

Katanya, pencapaian itu adalah bukti komitmen kerajaan PH untuk memenuhi janji-janji dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) secara berperingkat.

“PH adalah ada satu pakatan pentadbiran yang terdiri daripada PKR, Amanah, DAP, dan Bersatu yang telah memenangi mandat rakyat di dalam PRU 2018 berasaskan Manifesto Pilihan Raya Umum PH. 

“Keempat-empat parti ini mungkin mempunyai ideologi dan aspirasi yang berbeza, tetapi kami telah mencari satu titik persamaan dan terikat dengan Manifesto PRU yang telah dipersetujui bersama,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Katanya, kerajaan PH antara lain berjaya menurunkan kadar tol Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) sebanyak 18% bagi kenderaan persendirian dengan jaminan tidak ada sebarang kenaikan kadar tol sehingga tamat tempoh konsesi.

Selain itu, katanya, kerajaan PH juga memperkenalkan inisiatif MySalam yang menawarkan bantuan kewangan bernilai di antara RM4,000 sehingga RM8,000 untuk mereka yang menghidapi salah satu daripada 45 penyakit kritikal.

“Malah, kerajaan PH juga memansuhkan GST yang digantikan dengan SST dan membayar semula pemulangan kutipan GST yang berjumlah RM19.4 bilion, dan mengekalkan kedudukan kredit antarabangsa negara walaupun kerajaan terpaksa membayar berpuluh bilion ringgit kerana skandal 1MDB, Tabung Haji dan pelbagai skandal-skandal lain lagi.

Tambahan lagi, kerajaan PH juga menurut Guan Eng, telah menyambung semula semua projek infrastruktur utama yang mencapai penjimatan lebih RM50 bilion menerusi rundingan semula dan rasionalisasi projek kerajaan terdahulu.

Kerajaan PH juga, katanya mempercepatkan proses digitalisasi meneruysi penggalakkan penggunaan e-dompet, serta mencipta 350,000 peluang pekerjaan untuk mereka yang menganggur melalui projek MalaysiaKerja yang bernilai RM6.5 bilion, dan pelbagai inisiatif lain lagi. – Roketkini.com