Berita, Rencana

Rancangan puak pengkhianat gagal di tengah jalan

Oleh Howard Lee

(Ketua DAPSY Kebangsaan, Adun Pasir Pinji)

Azmin Ali dalam kenyataannya menggesa agar tidak melengahkan pembentukan kerajaan baharu melalui “pintu belakang” dengan bergabung bersama UMNO dan PAS. Semalam pula mereka dakwa ada akuan berkanun (SD) yang menyatakan perkara yang berbeza. Ini semua adalah pembohongan, pengkhianatan dan tindakan menyamun mandat rakyat!

UMNO tempoh hari mendakwa mempunyai majoriti; mahu mengadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk membentuk kerajaan “pintu belakang” dengan PAS. Sekarang ini, sudah terkantoi mereka tidak cukup bilangan, tidak cukup sokongan, dan kemudian mahu mendesak dibubarkan Parlimen dan diadakan pilihan raya pula. Lagi pembohongan dan pengkhianatan.

Percaturan jijik “kakistokrasi” oleh gabungan pembohong, penyamun dan pembelot ini telah gagal sama sekali. Niat mahu membentuk kerajaan “pintu belakang” sepertimana rejim kleptokrat terdahulu adalah satu penyelewengan dan penderhakaan kepada keluhuran Perlembagaan dan prinsip Demokrasi Berparlimen.

Saya dan rakan-rakan kepimpinan Pakatan Harapan akan tetap teguh berpegang kepada prinsip demokrasi dan mandat yang telah diberikan rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14. Rakyat adalah saksi dan akan menjadi hakim kepada masa depan negara.

Di akhir ketidaktentuan politik ini, keadilan dan suara rakyat lah yang akan tetap menang. Azmin Ali dan kuncunya-kuncunya yang bersebelasan ini yang sanggup menggadaikan maruah melukut di tepi gantang kleptokrat akan dihukum rakyat kerana meletakkan kepentingan peribadi dan cita-cita politik sendiri mengatasi agenda reformasi dan amanah mereka kepada rakyat. – Roketkini.com