Berita

MP DAP geli hati dengan ‘auta’ puak pengkhianat

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng membidas Azmin Ali yang didakwa sanggup berkomplot dengan perasuah dalam UMNO serta rakan-rakan baharunya termasuk PAS bagi melunaskan “nafsu besarnya” untuk merampas kuasa.

Menyifatkan Azmin sebagai musang berbulu ayam, Lip Eng turut membidas tindakan bekas timbalan presiden PKR itu yang didakwa cuba menjadi hero dan memutar-belitkan “cerita dongeng” dalam kemelut politik hari ini. 

“Hairan sungguh bagaimana beliau boleh mendakwa ada perancangan untuk menjatuhkan Tun Dr Mahathir Mohamad sedangkan pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (PH) telah sebulat suara menyerahkan hal peralihan kuasa ke tangan Perdana Menteri sendiri,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pada sidang media semalam, mengesyorkan supaya Dr Mahathir kekal sebagai Perdana Menteri supaya PH dapat terus memenuhi dan menyampaikan janji-janji dalam manifesto pilihan raya.

Beliau turut mendedahkan bahawa Dr Mahathir meletak jawatan sebagai perdana menteri kerana tidak mahu bekerjsama dengan UMNO. 

“DAP ingin memuji pegangan berprinsip Dr Mahathir untuk menolak kerjasama dengan UMNO yang di mana pemimpin mereka terbabit dengan amalan-amalan rasuah yang telah menyebabkan Malaysia dilabelkan sebagai ‘kleptokrasi global yang terburuk’. 

“Perlu dinyatakan bahawa ini adalah kali pertama seorang Perdana Menteri Malaysia bersedia untuk meletakkan jawatan atas prinsip untuk menegakkan integriti dan melawan rasuah,” kata Guan Eng. 

Mengulas lanjut, Lip Eng yang juga Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan, mendesak agar 10 ahli parlimen yang keluar daripada PKR memberikan penjelasan kepada pengundi mengapa mereka sanggup bekerjasama dengan UMNO dan PAS.   

“Sekiranya gagal, mereka harus menerima hakikat bahawa mereka telah mengkhianati amanah rakyat, dan telah dengan mata terbuka bersubahat dengan musuh-musuh rakyat yang telah merompak negara dan menimbulkan perselisihan antara kaum selama ini; demi kepentingan politik semata-mata.

“Saya menyarankan mereka ini supaya turun ke kawasan dan berdepan dengan pengundi; serta menjelaskan apa sebab mereka sanggup bergabung dengan UMNO dan PAS. Itu pun kalau mereka berani,” ujarnya.