Berita, Rencana

Kit Siang saran Kabinet mesyuarat setiap hari sehingga Covid-19 reda

Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang hari ini menyarankan kerajaan untuk mengambil beberapa langkah penting bagi memastikan maklumat tepat berhubung wabak Covid-19 sampai kepada rakyat.

Beliau antara lain menyarankan Kabinet untuk bermesyuarat setiap hari dan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin melakukan pengumuman setiap hari atau dua kali sehari sehingga perang terhadap wabak itu tamat. 

Ini bagi mengelak rakyat menjadi panik dan berlaku “pusingan u” dalam setiap keputusan yang dibuat kerajaan sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Semua Menteri Kabinet perlu memberikan keutamaan terhadap usaha menangani krisis Covid-19 dan setiap Menteri perlu fokus terhadap apa yang boleh diusahakan oleh Kementerian masing-masing setiap hari bagi membantu rakyat Malaysia menang dalam ‘peperangan’ ke atas Covid-19,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Kit Siang dalam pada itu turut menggesa rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama, wilayah, latar belakang politik atau sosio-ekonomi berganding bahu “memerangi wabak Covid-19”.

Tambah Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu, sekarang bukan masanya untuk menuding jari antara satu sama lain.

Bagi membendung wabak Covid-19, kerajaan telah menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa dari 18 sehingga 31 Mac. Semua dinasihati untuk patuh terhadap arahan perintah tersebut. – Roketkini.com