Berita

Adun DAP santuni rakyat memerlukan

Oleh Heliana Hashim

Ketika negara menghadapi pandemik Covid-19 kini, penduduk kampung yang rata-ratanya datang dari golongan B40 merupakan antara golongan yang terkesan khususnya dari segi ekonomi.

Mereka merupakan golongan yang amat memerlukan bantuan dari segi barangan keperluan harian memandangkan aktiviti ekonomi mereka lazimnya berbentuk ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’, kini terjejas.

Menyedari hal itu, ramai Adun DAP tampil memberi bantuan dalam pelbagai bentuk demi memastikan kelangsungan hidup para penduduk.

Adun Ketari, Young Syefura juga tidak ketinggalan dalam memberi sumbangan berupa barang keperluan harian buat masyarakat yang tinggal di kawasannya.

Menurut beliau, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini ada di antara penduduk sekitar Ketari yang telah menghubunginya untuk memohon keperluan bantuan barangan dapur.

Kebanyakan mereka merupakan peniaga kecil-kecilan, bekerja di kedai makan atau pekerja yang mengharapkan gaji harian.

Young Syefura atau lebih mesra dengan panggilan Rara menambah, pada masa ini segala bantuan yang diberikan menggunakan duit poketnya sendiri kerana peruntukan dari Kerajaan Pusat sebelum ini telah ditarik balik.

“Sumbangan daripada pihak-pihak dan agensi yang ingin bekerjasama juga amat dialu-alukan,” katanya.

Selain itu, Adun Dusun Tua Edry Faizal pula sedang giat dalam melaksanakan program bank makanan bergerak bertujuan untuk membantu rakyat yang terputus bekalan.

Keutamaan jelasnya, diberikan kepada keluarga yang telah terputus bekalan makanan, warga emas sebatang kara, orang sakit dan golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

Sementara itu, Adun Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid turut membantu meringankan beban penduduk-penduduk di sekitar kawasan Seri Delima. – Roketkini