Berita

PH gesa kerajaan laksana 3 langkah segera bantu rakyat

Oleh B. SUFFIAN 

Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH) menggesa kerajaan agar segera mengambil langkah-langkah drastik untuk membantu rakyat yang terbeban dengan penularan Covid-19.

Langkah itu perlu diambil selain penangguhan bayaran balik dan penyusunan semula pinjaman, sepertimana diumumkan hari ini.

Jelas majlis itu, moratorium pinjaman tidak membantu segelintir rakyat Malaysia yang menyewa rumah atau perniagaan kecil berhadapan dengan upah tenaga kerja yang mewakili kos paling tinggi. 

“Tindakan segera dan berani diperlukan untuk menangani waktu yang luar biasa ini,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, kenyataan tersebut menyenaraikan tiga langkah untuk dilaksanakan dengan segera termasuk pindahan tunai untuk golongan B40.

Menurutnya, langkah pindahan tunai itu merangkumi pemberian RM1,000 bagi bulan Mac dan RM1,000 bagi bulan April kepada penerima Bantuan Sara Hidup (isi rumah B40).

Kedua, jelas kenyataan itu mencadangkan kemudahan tunai buat perusahan kecil dan sederhana (PKS) dan rangsangan tambahan hampir RM150 bilion.

“Peruntukan untuk meredakan aliran tunai bagi perniagaan kecil perlu ditingkatkan, diperluaskan skop, dan dibuat tanpa faedah,” katanya.

Kenyataan itu juga mencadangkan moratorium bagi bil utiliti terkumpul selama enam bulan.

“Kami mencadangkan agar semua perkhidmatan utiliti – Tenaga Nasional, Telekom Malaysia, syarikat telekomunikasi dan lain-lain diarah untuk menyediakan moratorium umum automatik selama enam bulan.

“Ini bagi bil terkumpul dan penggunaan sepanjang tempoh enam bulan akan datang,” ujarnya. – Roketkini.com