Berita, Rencana

#KitaJagaKita – Solidariti dalam Perang Covid-19

Oleh Liew Chin Tong

(Pengarah Pendidikan Politik DAP)

Kita sedang berperang menentang virus, iaitu virus Covid-19 yang membunuh. Dalam peperangan, terdapat tiga perkara utama: solidariti (kebersamaan) rakyat, atur gerak dinamik anggota, mobalisasi sumber material dan kapasiti industri.

Sebagai sebuah negara, kita mempunyai peranan penting secara bersama. Walaupun saya bersetuju kita perlu duduk di rumah dengan tenang, kita tidak boleh serahkan semuanya kepada pihak berkuasa. Kita sebagai rakyat perlu terlibat sama walaupun bekerja dari rumah. Tanpa meninggalkan rumah kita, kita mampu membantu negara yang kita sayangi ini.

Solidariti 

Kita sedang melawan peperangan ini dalam tempoh jangka masa panjang dengan gangguan yang besar, kos ekonomi dan sosial, dan beberapa kesan yang lain. Kita perlu tekankan kepada rakyat Malaysia bahawa kita sentiasa bersama dan solidariti adalah apa yang kita perlukan ketika berada dalam usaha perang ini.

Rakyat Malaysia perlu bersama-sama mengambil semangat #kitajagakita untuk berhadapan dengan cabaran ini. Duduk di rumah tidak bermaksud kita tidak melakukan apa-apa kerana kita sedang membantu negara untuk mencegah penyebaran virus. Ramai yang bekerja dari rumah. Ada antara mereka keluar untuk membantu golongan memerlukan dalam sekitar komuniti mereka.

Ini bermakna negara masih hidup dan berjuang. Kita tidak ‘shutting down’ negara. Tema utama yang digunakan iaitu “duduk diam-diam” perlu digantikan dengan #kitajagakita, mengembalikan semula mesej solidariti.

Kerajaan perlu terus berkomunikasi dengan orang awam tentang perkara yang Malaysia perlu perketatkan, walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan. 

Sekiranya keadaan semakin merosot, orang ramai perlu dimaklumkan dengan perkara yang boleh dilakukan bersama untuk mengelakkan kemerosotan itu. Contohnya senario 3,000 kes atau senario 5,000 kes atau 10,000 kes. Setiap orang mempunyai peranan untuk merendahkan lengkok Covid-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua minggu hingga 14 April 2020. Secara langsung kita berada dalam keadaan separa berkurung untuk tiga minggu tanpa jaminan sama ada ia tarikh akhir atau tempoh berkurung akan dilanjutkan.

Pendekatan telus dan jelas amat penting. Kerajaan perlu berkongsi dengan rakyat Malaysia mengenai apa yang boleh kita lakukan bersama dalam tempoh PKP ini dan semasa pembukaan semula negara selepas 14 April.

Atur gerak dinamik

Kita mesti bersedia untuk menguatkuasakan “atur gerak anggota dinamik”. Contohnya, pengesanan kontak yang dilakukan oleh pegawai Kementerian Kesihatan. Pada satu ketika, mereka harus menyerahkan sebahagian besar kerja pengesanan kepada Polis yang mungkin menyerahkan tugas lain kepada anggota Angkatan Tentera.

Sekiranya PKP berterusan, apakah sistem sokongan penjagaan kanak-kanak yang disediakan untuk pekerja penjagaan kesihatan? Para pekerja penjagaan kesihatan mungkin ditempatkan di asrama atau ditempatkan sementara di hotel-hotel berdekatan dengan hospital-hospital yang saya lihat beberapa telah dilakukan, kerana kepenatan berjam-jam dan risiko menyebarkan virus kepada ahli keluarga. Anak-anak mereka memerlukan orang lain untuk dijaga.

Apabila krisis semakin kritikal, kita lebih bergantung kepada jentera kerajaan. Pegawai kerajaan boleh tinggal di rumah untuk bekerja tetapi kerajaan tidak boleh ditutup atau beroperasi dalam berasingan tanpa menghubungkan kepada rangka yang lebih besar.

Setakat ini, kita masih mengambil pendekatan pemusatan kepada Kementerian Kesihatan. Sudah tiba masanya untuk mengerakkan semua jentera kerajaan, dan pastikan mereka beroperasi selari. Kerajaan telah memperuntukkan dana untuk mengambil 2,000 orang anggota perubatan serta memanggil semula bekas doktor dan jururawat bersara. Tetapi itu tidak mencukupi jika kita menuju ke arah senario 5,000 kes dan seterusnya.

Kita perlu memberitahu orang ramai bahawa melindungi pekerja kesihatan adalah keutamaan nombor 1 kerana mereka adalah barisan hadapan dan tanpa mereka, kita tidak dapat bertempur dalam peperangan ini. Dalam peperangan, barisan hadapan perlu ada bekalan, logistik dan jentera untuk digerakkan, tampil ke hadapan untuk berkhidmat.

Kita mesti bersedia mengambil lebih ramai pekerja kesihatan dan juga meminta lebih banyak sukarelawan dari kalangan profesion kesihatan (HCP) dan bentuk sukarelawan lain yang akan membantu perjuangan. Latihan untuk sukarelawan dan pekerja baru perlu disediakan sekarang dengan jangkaan peningkatan dalam masa yang singkat.

Kerajaan perlu berkomunikasi tentang rancangan untuk mengintegrasikan hospital swasta, klinik swasta, hospital ketenteraan dan semua sumber perubatan lain yang tersedia dalam masa perang.

Sebagai contoh, hospital swasta dan hospital ketenteraan boleh memulakan ujian melalui ‘drive-thru’ di Malaysia, seperti yang dipelopori oleh Korea Selatan. Doktor di kementerian-kementerian bukan kerajaan perlu tahu apa yang harus dilakukan seterusnya. Sebaik sahaja rancangan itu jelas dikomunikasikan, negara akan tahu cara untuk memaksimumkan impak sumber perubatan terhad kita.

Pada suatu ketika, orang ramai perlu diminta menjaga kesihatan mereka dengan cara yang baik supaya mereka dapat mengurangkan keperluan untuk melawat hospital bagi bersaing mendapatkan sumber perubatan.

Mobilisasi

Tiada peperangan yang dimenangi tanpa pengeluaran peluru daripada pihak industri. Kemenangan dalam peperangan bukan sahaja tertumpu kepada perjuangan anggota dalam peperangan, ia juga termasuk kapasiti pihak industri membantu peperangan. Kita perlu mobalisasi sumber material dan kapasiti industri.

Amerika Syarikat menang Perang Dunia Kedua kerana kemampuan untuk menjadikan semua kilang menghasilkan peluru, kapal dan jet pejuang kurang daripada setahun selepas Pearl Harbour diserang pada tahun 1941.

Kawalan pergerakan akan tidak bermakna jika kita tidak meningkatkan ujian Covid-19 untuk mengenalpasti bilangan orang yang benar-benar positif, dan pembawa simptom yang mungkin tidak tahu bahawa mereka menyebarkan virus.

Adakah kita mempunyai kit ujian yang mencukupi? Kita perlu mendapatkan kit tersebut secara besar-besaran dari luar negara dan juga cuba untuk menghasilkan secara tempatan semampu yang boleh.

Jika kita kembali bekerja pada 15 April, kita perlu mempunyai sejumlah besar topeng muka. Kita boleh mengimport tetapi kita mesti cuba hasilkan di peringkat tempatan.

Begitu juga dengan peralatan pelindungan peribadi (PPE), cecair pembasmi kuman, ventilator, sarung tangan dan semua alat perubatan lain. Kilang-kilang itu harus beroperasi dengan semaksima mungkin dan dengan perubahan tambahan ini. Tentu saja operasi mereka juga perlu berada di tahap pemeriksaan kesihatan dan perlindungan yang lebih lebih tinggi.

Paling penting, kita memerlukan makanan. Kita perlu memastikan bahawa sektor pertanian kita terus menghasilkan makanan manakala sektor logistik terus menyampaikannya kepada rakyat. Ini semua tentang rantaian bekalan.

Semua isu rantaian bekalan mesti ditangani untuk mencegah kekurangan makanan atau kenaikan harga mendadak yang boleh menyebabkan kebuluran dan kegelisahan sosial.

Oleh sebab kita akan berada dalam situasi ‘peperangan’ bagi tempoh yang panjang, kita perlu lakukan lebih banyak penyampaian pendidikan atas talian kepada pelajar serta untuk mengekalkan pembelian runcit atas talian sebanyak mungkin.

Ini adalah untuk membolehkan orang ramai membeli sebahagian besar daripada apa yang mereka perlukan dalam kehidupan harian mereka sambil mengekalkan rantaian bekalan yang tidak terputus dan mengekalkan sebanyak mungkin perniagaan dan pekerjaan.

Untuk berjaya, kita memerlukan pendekatan menyeluruh kerajaan dan seluruh masyarakat yang masih kurang pada masa ini. Kita memerlukan solidariti semua rakyat Malaysia. Inilah yang kami maksudkan dengan #kitajagakita. – Roketkini.com