Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) mencadangkan agar pakej rangsangan ekonomi yang akan diumumkan kerajaan hari ini memberi fokus khusus kepada aspek kebajikan pekerja serta majikan.
Ini bagi memastikan syarikat tidak memecat pekerja dan membayar gaji yang mencukupi untuk menampung kehidupan sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP) berkuatkuasa.
“Disyorkan kerajaan membayar gaji minima sebanyak RM1,200 sebulan kepada semua pekerja Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS) dan ke bawah, serta memujuk semua pemilik premis memberikan diskaun 50% kadar sewa untuk 3 bulan dan moratorium selama 6 bulan untuk pembayaran sewa,” katanya.
Tambah PH, fokus ini harus diberikan demi menyelamatkan negara daripada terjerumus dalam kemelut ekonomi.
“Majlis Presiden turut mendoakan agar rakyat Malaysia selamat dalam lindungan Yang Maha Esa, agar para petugas barisan hadapan diberi kekuatan dan dilindungi sentiasa, dan agar mereka yang dijangkiti sembuh segera,” ujarnya. – Roketkini.com