Berita

Covid-19: Sekarang masa untuk bersama bantu rakyat, bukan berpolitik

Usaha memerangi wabak Covid-19 yang melanda negara ketika ini memerlukan kerjasama semua pihak tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang politik. 

Justeru, sebarang tindakan yang berunsur politik yang diambil kerajaan ketika semua pihak sedang bertungkus lumus memerangi wabak ini amat dikesali. 

Ini yang diluahkan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) susulan tindakan kerajaan menamatkan perkhidmatan antaranya anggota badan seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA), Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan, dan Yayasan Kebajikan Negara.

“Kami berpandangan tindakan ini kurang sesuai lebih-lebih lagi sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa dan negara berhadapan ancaman penularan wabak Covid-19.

“Pada waktu ini, seluruh tenaga rakyat perlu dirangkul dan digabungkan tanpa mengira kaum, agama mahupun fahaman politik untuk melandaikan keluk (flatten the curve) wabak ini serta menyelesaikan kemelut ekonomi yang semakin menjelma. 

“Sebarang tindakan bersifat politik pada waktu ini pasti disalah tafsir dan mengundang amarah rakyat, langsung menghilangkan fokus terhadap usaha memerangi Covid-19 dan memulihkan negara,” kata gabungan itu dalam kenyataan, hari ini. 

PH justeru menggesa Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin melaksanakan “moratorium tindakan politik” bagi memastikan objektif memerangi Covid-19 dan membantu rakyat yang terkesan dapat dicapai. 

“Kita perlu bekerjasama, demi negara,” tegas gabungan tersebut. 

PH turut memohon agar “ahli-ahli Parlimen yang dipaksa menjadi pembangkang” dilibatkan dengan lebih aktif dalam usaha mengekang penularan wabak. 

“Maklumat terperinci Kementerian Kesihatan Malaysia berkenaan jumlah kes positif di setiap kawasan Parlimen sewajarnya dipanjangkan kepada Ahli Parlimen yang mewakili rakyat di kawasan terkesan, agar mereka boleh turut membantu,” ujarnya. – Roketkini.com