Berita, Rencana

Parlimen perlu luluskan pakej rangsangan ekonomi

Pada 27 Mac 2020, Perdana Menteri Tan Sri Muhyuddin Yassin telah mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi kedua bagi menyokong kebajikan dan menjamin ekonomi kekal kukuh dalam peperangan menentang wabak Covid-19.

Pakej yang diberi nama “Prihatin” telah memperuntukan perbelanjaan sebanyak RM250 bilion dengan suntikan fiskal kerajaan sebenar berjumlah RM25 bilion, iaitu kurang lima peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Ketika kita melihat kelegaan beberapa pihak tentang pengumuman ini, namun pelaksanaan dan punca kuasa meluluskan peruntukan besar ini harus diteliti dengan lebih telus. Kita tidak seharusnya terlalu pantas dan gopoh dengan pengumuman ini kerana pakej rangsangan ekonomi perlu mendapatkan persetujuan Parlimen untuk dilaksanakan.

Pemimpin seluruh dunia hari ini sedang dan telah membahaskan tentang pakej rangsangan ekonomi bagi menghadapi Covid-19 di Parlimen. Pada 24 Mac 2020, Parlimen Republik Czech telah meluluskan pakej rangsangan ekonomi selepas perdana menteri mereka, Andrej Babis mengumumkan perbelanjaan 100 juta CZK (USD 4 juta) sebagai bantuan terus dan 900 juta CZK (USD 36.4 juta) sebagai jaminan pinjaman kepada syarikat korporat.

Kongres Amerika Syarikat turut membahaskan pakej rangsangan ekonomi presiden Donald Trump sebanyak AS$2 trilion bagi membantu rakyat yang kini berhadapan dengan kegelisahan ekonomi ketika pandemik Covid-19 kian membimbangkan. Kedua-dua parti Republikan dan Demokrat telah bersetuju meluluskan pakej ini.

Parlimen Singapura telah meluluskan belanjawan tambahan pada 26 Mac 2020 bagi menyediakan pakej rangsangan ekonomi berjumlah S$48 bilion untuk menyokong kebajikan rakyat dan mengukuhkan ekonomi. Jumlah ini sebanyak sembilan peratus kepada KDNK negara Singapura.

Oleh itu, adalah lebih baik kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengambil langkah yang sama untuk membentangkan pakej rangsangan ekonomi dalam satu sidang Parlimen khas secepat yang mungkin.

Berdasarkan Perkara 101, Perlembagaan Persekutuan, segala perbelanjaan tambahan yang diumumkan Kerajaan Persekutuan hendaklah dibentangkan di Dewan Rakyat untuk dimasukkan ke dalam satu Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan.

Perkara 102 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa kepada Parlimen mempercepatkan proses meluluskan RUU Perbekalan tambahan kerajaan bagi membolehkan dana dibelanjakan pada waktu kritikal.

Ini bermaksud, kerajaan PN mempunyai tanggungjawab untuk mendapat kelulusan dan sokongan Parlimen sebelum ia dibelanjakan kepada orang awam.

Perbahasan pakej rangsangan ekonomi di Parlimen berdasarkan prinsip semak dan imbang terhadap pengurusan dana kerajaan penting supaya ia tidak disalahgunakan.

Kerajaan PN perlu memberi penjelasan kepada Parlimen tentang segala butiran projek, program dan punca kewangan untuk membelanjakan dana kepada rakyat. Dalam keadaan rakyat sedang gelisah, risiko salah guna dana ini amat tinggi dan membimbangkan.

Contohnya, ketika pakej rangsangan pertama yang diumumkan oleh Muhyuddin Yassin pada 17 Mac 2020 yang lalu, sebanyak RM2 bilion telah diberikan kepada Projek Kecil Luar bandar. Bagi memastikan pengurusan saluran dana berjalan dengan telus dan terbuka, kerajaan PN harus memberi perincian kepada ahli Parlimen dan rakyat senarai kontraktor yang mendapat manfaat dasar ini agar tidak berlaku ketirisan wang kerajaan.

Meskipun kepantasan dalam pelaksanaan pakej rangsangan menjadi keutamaan, pendekatan pelaksanaan dana perlu diteliti agar ia tidak berlaku kelompongan dan kelewatan perbelanjaan. Parlimen sebagai institusi rakyat dapat memainkan peranan bagi memastikan tujuan asal dana tersebut mencapai objektif yang telah dirancang.

Kerajaan Barisan Nasional (BN) dibawah mantan perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak telah membentangkan pakej rangsangan ekonomi sebanyak RM7 bilion pada bulan November 2008 bagi menghadapi krisis ekonomi dunia pada tahun tersebut.

Apa yang menjadi persoalan hangat ketika itu ialah kerajaan BN hanya membelanjakan 8% atau RM560 juta daripada peruntukan RM7 bilion sehingga Februari 2009.

Belum habis dana ini, kerajaan telah mengumumkan pakej rangsangan kedua sebanyak RM60 bilion pada Mac 2009. Perkara ini dimaklumkan sendiri oleh menteri di hadapan ahli Parlimen dan ia menunjukkan kerajaan tidak komited untuk menyalurkan dana tersebut ketika rakyat memerlukannya dengan cepat.

Selain meluluskan pakej rangsangan, perbahasan khas Parlimen boleh sahaja menjadi institusi untuk mendapatkan informasi terkini wabak Covid-19 dan kelemahan-kelemahan logistik dan kelengkapan kesihatan untuk dibahaskan ahli Parlimen.

Perkara ini telah dilaksanakan kerajaan Singapura yang meneruskan sidang Parlimen pada 25 Mac 2020 untuk memberitahu Parlimen tentang perkembangan terkini perancangan  urus tadbir kerajaan dan kesihatan di Singapura menentang Covid-19.

Kewujudan Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK) Bajet dan peranan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) merupakan institusi Parlimen yang terbaik melakukan pemantauan pelaksanaan pakej rangsangan Prihatin.

Namun, perubahan pentadbiran kerajaan telah menyebabkan kedua-dua badan ini tidak boleh dijalankan kerana ketiadaan pengerusi dan perubahan ahli jawatankuasa. Oleh itu, Dewan Rakyat perlu bersidang untuk meluluskan pakej rangsangan ekonomi ini dengan segera.

International Monetary Fund (IMF) menyatakan krisis Covid-19 ini lebih buruk berbanding krisis kewangan dunia pada tahun 2009. Sebanyak AS$2.5 trilion diperlukan untuk menyelamatkan pasaran dunia. Maka, seluruh dunia perlu berbelanja lebih untuk menyelamatkan rakyat dan ekonomi.

Keadaan ini memerlukan Parlimen bersidang untuk merancang langkah seterusnya dalam memberi jaminan ekonomi kepada rakyat.

Hakikatnya, kebanyakan pemimpin dunia membentangkan pakej rangsangan ekonomi semasa Covid-19 di Parlimen. Tiada sebab untuk kerajaan Malaysia mengenapikan fungsi Parlimen ketika negara memerlukan keputusan bersama dan tepat dalam menentang Covid-19.

Sebagai sebuah negara demokratik, peranan Parlimen perlu dilihat dengan rangka yang lebih besar ketika negara berhadapan dengan musuh yang tidak dapat dilihat tetapi amat berbahaya kepada rakyat.

Parlimen menjadi medan solidariti dan kerjasama bagi mereka yang selama ini berbeza parti untuk duduk dan membincangkan langkah seterusnya untuk negara dan rakyat. Aspek ini lebih diperlukan ketika negara bakal berhadapan dengan kemungkinan  gelombang ‘Tsunami’ ketiga Covid-19, seperti yang diumumkan oleh Kementerian Kesihatan. – Roketkini.com

*Artikel ini kali pertama disiarkan di Astro Awani (http://www.astroawani.com/berita-malaysia/parlimen-perlu-luluskan-pakej-rangsangan-ekonomi-prihatin-235774)