Berita

Kerajaan digesa pertimbang lanjutkan tempoh pendaftaran mySalam

Pemimpin DAP menggesa kerajaan supaya mempertimbangkan untuk melanjutkan tempoh pendaftaran Skim Perlindungan Nasional (mySalam) bagi memberi laluan kepada orang ramai yang gagal memohon skim tersebut ekoran masalah teknikal di laman sesawang skim berkenaan. 

Menurut Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong, beliau menerima banyak panggilan daripada orang ramai yang mengadu tidak dapat mengakses laman sesawang mySalam bagi tujuan pendaftaran sebelum tarikh tutup 31 Mac lalu. 

“Laman sesawang untuk pendaftaran mySalam gagal berfungsi dari 20 Mac 2020 hingga 31 Mac 2020. Talian hotline juga tidak dapat dihubungi.

“Akibatnya, ramai individu yang layak telah gagal untuk mendaftarkan diri mereka untuk skim MySalam, walaupun mereka telah berkali-kali cuba untuk masuk ke laman sesawang tersebut sebelum tarikh tutup pendaftaran.

“Pejabat saya telah menerima ratusan panggilan dan mesej mengenai isu ini. Ramai yang kecewa kerana tidak dapat daftar.

“Maka, saya menyeru supaya kerajaan dan Great Eastern Holdings, sebagai pengendali skim MySalam, untuk melanjutkan tempoh pendaftaran MySalam untuk golongan M40.

“Tempoh pendaftaran patut dilanjutkan sehingga sekurang-kurangnya 15 April 2020,” katanya yang juga Naib Pengerusi DAP Melaka dalam kenyataan. 

Untuk rekod, kerajaan sebelum ini menetapkan tarikh akhir pendaftaran mySalam pada 31 Mac lalu. 

MySalam adalah skim perlindungan kesihatan takaful percuma yang diperkenalkan oleh Kerajaan Pakatan Harapan pada 2018 bagi memanfaatkan golongan kurangt upaya dan kurang berkemampuan, terutamanya golongan B40.

Melalui skim ini, mereka yang menghidap mana-mana 45 penyakit kritikal, termasuk Covid-19, akan menerima bayaran tunai sebanyak RM4,000 atau RM8,000 bergantung kepada tahap pendapatan. 

Penerima juga boleh menuntut bayaran hospitalisasi, iaitu RM50 sehari untuk maksima 14 hari.

Skim ini turut diperluaskan kepada golongan M40, iaitu mereka yang berpendapatan kurang daripada RM100,000 setahun. – Roketkini.com