Berita

Kit Siang syor kerajaan umum langkah segera bantu PKS

Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKP) memainkan peranan yang penting dalam memacu ekonomi negara selain menjadi punca rezeki sebahagian besar rakyat Malaysia.

Namun, PKS kini berdepan risiko gulung tikar ekoran terjejas teruk akibat perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan untuk menghentikan rantaian penyebaran wabak Covid-19. 

Justeru itu, pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang dalam kenyataan hari ini menggesa kerajaan agar segera menangani masalah yang dihadapi PKS bagi memastikan ekonomi negara dapat bertahan dan pekerjaan rakyat terjamin.

“Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak boleh berlengah lagi dan perlu mengumumkan satu pakej penyelamatan ekonomi untuk PKS memandangkan mereka kini menghadapi kesukaran dengan aliran tunai dan menjangkakan gangguan aliran tunai untuk sekurang-kurangnya tiga bulan yang akan datang kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

“Keberterusan perniagaan adalah penting untuk daya tahan ekonomi dan kelestarian pekerjaan, sebab inilah kerajaan perlu memastikan perniagaan yang merupakan enjin kepada ekonomi negara boleh mengharungi wabak Covid-19 ini dengan selamat. 

“Muhyiddin tidak boleh berlengah dalam mengumumkan satu pakej penyelamatan ekonomi untuk PKS memandangkan keutamaan harus diberikan kepada usaha melonjakkan ekonomi negara selepas kemenangan melawan wabak Covid-19,” katanya.

Menurut Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri, pakej penyelamatan ekonomi PKS juga penting bagi melonjakkan semula ekonomi negara selepas tempoh PKP tamat. – Roketkini.com