Berita, Rencana

LPPSA digesa benarkan penjawat awam tangguh bayaran pinjaman selama 6 bulan

Pakatan Harapan (PH) mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan semula pendirian Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) yang tidak memberikan penangguhan sementara bayaran balik pinjaman perumahan untuk penjawat awam.

Menurut PH, semua golongan pekerja termasuk 800,000 penjawat awam terkesan dengan keadaan ekonomi yang semakin suram akibat penularan wabak Covid-19 serta pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Justeru itu, gabungan tersebut menyeru supaya kerajaan menerusi LPPSA memberikan penangguhan sementara bayaran balik pinjaman selama enam bulan kepada penjawat awam gred 56 dan ke bawah bermula 1 April 2020. 

“Majlis Setiausaha percaya langkah ini akan dapat membantu bukan sahaja penjawat awam malah juga keluarga-keluarga mereka menempuh keadaan ekonomi mencabar pada waktu ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Dalam tempoh sukar ini, kata PH, penjawat awam dilihat sebagai sumber sokongan kewangan buat ahli keluarga yang hilang punca pendapatan sepanjang tempoh PKP, selain dianggap sebagai golongan yang banyak menerima bantuan daripada kerajaan. 

PH turut memetik laporan Malaysia Economic Monitor oleh Bank Dunia yang menyatakan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) mendapati 28% rakyat yang bekerja terpaksa meminjam dari ahli keluarga untuk membeli barang keperluan asas.

“Dalam keadaan sekarang, sudah pasti jumlah peminjam seperti ini bertambah dengan mendadak, dan kebiasaannya ahli keluarga yang akan dicari pada waktu ini adalah dari kalangan penjawat awam.

“Maka kesan ketiadaan moratorium ini terhadap kewangan para penjawat awam tidak boleh dipandang ringan, terutama bagi kumpulan Gred 56 ke bawah. 

“Oleh itu, Majlis Setiausaha berpandangan bahawa Kerajaan perlu pertimbang semula pendirian LPPSA ini, dan mencadangkan moratorium pembayaran selama enam bulan diberikan kepada penjawat awam Gred 56 ke bawah bermula 1 April 2020,” kata gabungan itu. 

LPPSA dalam pengumuman pada 8 April lalu menyatakan pihaknya tidk akan memberi sebarang penangguhan pembayaran balik ansuran bulanan atau moratorium pembiayaan perumahan. 

Antara alasan yang diberikan LPPSA adalah kerana dana badan itu disubsidi pada kadar faedah 4% iaitu lebih rendah berbanding kadar faedah bank tempatan lain selain moratorium akan melibatkan pinjaman tambahan melebihi RM2 bilion.

Malah LPPSA mendakwa penjawat awam telah banyak menerima bantuan kerajaan justeru tidak memerlukan moratorium. – Roketkini.com