Berita

Gambar Timbalan Menteri PN didakwa langgar PKP, sertai jamuan makan tular

Beberapa gambar yang menunjukkan wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) termasuk seorang yang bergelar timbalan menteri sedang menikmati juadah beramai-ramai semasa tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) di sebuah surau tular di media sosial, hari ini. 

Tindakan yang disifatkan sebagai melanggar arahan PKP itu mendapat kecaman pelbagai pihak termasuk pemimpin politik. 

Ketua DAPSY Petaling Jaya Utara, Nor Miswary Ramli antara yang mempersoalkan tindakan timbalan menteri tersebut menerusi ciapan di Twitter.  


“Solat jemaah di masjid pun tak dibenarkan, ini kan pula buat makan-makan.

“Rakyat nak tanya Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, adakah mereka ini pakai undang-undang yang berbeza dengan kami?” soalnya. 

Untuk rekod, Berita Harian semalam melaporkan 10 lelaki yang sedang menunggu waktu untuk mengerjakan solat Isyak berjemaah di Masjid Sayong Tengah, dekat Kuala Kangsar ditahan pihak berkuasa kerana melanggar PKP.

PKP yang kini memasuki fasa ketiga melarang sebarang bentuk perhimpunan ramai termasuk mengadakan solat berjemaah di surau dan masjid sebagai usaha memutuskan rantaian penyebaran wabak Covid-19 di negara ini. 

Ismail Sabri selasa lalu, dilaporkan berkata pihak berkuasa akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang melanggar PKP dan pihak polis diberi kuasa untuk menahan seterusnya dihadapkan ke mahkamah. 

“Kita lihat rakyat seolah-olah tidak takut dengan denda RM1,000 yang dikenakan kepada mereka yang ingkar dan menganggap denda itu sama seperi mereka disaman atas kesalahan lalu lintas.

“Jadi kerajaan bersetuju mulai esok tumpuan tidak akan diberikan kepada kompaun kerana sesiapa yang ditahan akan direman dan dihadapkan ke mahkamah,” katanya.

‘Kalau di luar negara, menteri dah letak jawatan’

Tindakan timbalan menteri PN tersebut turut mengundang reaksi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. 

“Bukan sebarang Timbalan Menteri tetapi Timbalan Menteri Kesihatan, tidak menunjukkan contoh teladan yang baik dalam masa PKP ketika ini. 

“Di negara lain seperti New Zealand, menteri kesihatannya letak jawatan kerana melanggar peraturan lockdown, begitu juga orang awam di negara masing-masing melahirkan kemarahan kepada menteri perumahan UK dan menteri komunikasi Afrika Selatan atas sebab yang sama. 

“Kita tidak mahu ada peraturan-peraturan yang berbeza, kepimpinan mesti tunjukkan tauladan,” katanya. – Roketkini.com