Berita

P. Pinang terima pelaburan RM15 bilion, tertinggi di Malaysia

Pulau Pinang terus cemerlang di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) selepas mencatatkan pelaburan langsung asing (FDI) tertinggi di Malaysia menurut laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi tahun 2019.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata FDI sektor pembuatan di negeri ini melonjak kepada RM15 bilion dengan membabitkan 166 projek. 

Tambahnya, jumlah keseluruhan pelaburan yang diluluskan termasuk pelaburan domestik dan asing dalam sektor pembuatan adalah sebanyak RM16.9 bilion.

“Kedua-dua angka ini merupakan pencapaian teringgi di dalam sejarah negeri kita setakat ini. 

“Ini membuktikan bahawa pelabur-pelabur asing masih mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap ekosistem pelaburan ditawar oleh negeri Pulau Pinang. 

“Malah, sebagaimana saya tekankan, Pulau Pinang tidak memiliki sumber asli, tetapi kita mempunyai sumber kemahiran serta bakat yang sering dicemburui ramai serta menjadi daya penarik para pelabur. 

“Tahniah dan terima kasih kepada semua!” katanya pada sidang media di Komtar hari ini. 

Sementara itu, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri juga memandang tinggi peranan sektor perkhidmatan termasuk pelancongan yang menyumbang pendapatan kepada kerajaan. 

Justeru itu, pihaknya menerusi pasukan yang dinamakan sebagai ‘‘Pasukan Kerja Next Normal Pelancongan Pulau Pinang” akan mengadakan sidang meja bulat secara maya dengan pemegang taruh industri berhubung impak yang dihadapi mereka akibat Covid-19. 

“Umumnya, Kerajaan Negeri bukan sahaja memandang serius kesan Covid-19 terhadap sosioekonomi negeri kita, malah kami juga berhasrat untuk mengambil tindakan awal bagi memastikan survival rakyat dan negeri Pulau Pinang secara keseluruhannya,” ujarnya. 

Katanya, sektor perkhidmatan merupakan penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Pulau Pinang iaitu kira-kira 49 peratus dan diikuti dengan sektor pembuatan, 46 peratus. 

Malah katanya, sektor perkhidmatan di Pulau Pinang menyediakan pekerjaan kepada kira-kira 300,000 pekerja. Hampir separuh daripada jumlah ini adalah terlibat di dalam sektor pelancongan. – Roketkini.com