Berita

Dua VIP bukan setakat langgar SOP, tapi memang ingkar PKP

Dua orang kenamaan (VIP) berstatus Timbalan Menteri dan Exco yang dikenakan denda RM1,000 oleh mahkamah baru-baru ini sememangnya ingkar perintah kawalan pergerakan (PKP) dan bukan sekadar melanggar prosedur operasi standard (SOP) seperti didakwa seorang menteri kanan hari ini.

Mengikut kertas pertuduhan VIP terbabit, tegas peguam Syahredzan Johan, mereka dituduh di mahkamah kerana melanggar Peraturan 6 (1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Tambahnya, semua tertuduh di bawah kes berkenaan didapati bersalah kerana berhimpun bagi maksud sosial di satu lokasi di Lenggong, antara jam 6 hingga 7 malam pada 17 April lalu.

“Ini bermakna, mereka bukanlah ‘langgar SOP sahaja’, tetapi jelas melanggar Peraturan PKP itu sendiri dan boleh dihukum bawah Peraturan 11(1) peraturan sama. 

“Jika mereka sekadar ‘langgar SOP’, mana mungkin mereka boleh didakwa di Mahkamah. 

“Tidak mematuhi penjarakan sosial bukanlah jenayah. Dan Timbalan Menteri dan Exco tersebut bukan didakwa sebab tidak patuh penjarakan sosial, tetapi sebab berhimpun sewaktu PKP untuk maksud sosial.

“Maka, sepatutnya tiada beza jenayah Timbalan Menteri dan Exco, dengan jenayah rakyat biasa dalam hal ingkar PKP ini,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Kanan, Ismail Sabri Yaakob bahawa Timbalan Menteri dan Exco yang dikenakan tindakan mahkamah baru-baru ini kononnya tidak ingar PKP sebaliknya hanya melanggar SOP dengan tidak mengamal penjarakan sosial.

Terdahulu, Timbalan Menteri Kesihatan, Noor Azmi Ghazali dijatuhi hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret di Gerik semalam kerana melanggar PKP dengan menghadiri satu jamuan dua minggu lepas.

Turut dikenakan denda sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Perak Razman Zakaria serta 13 individu lain.

Majistret Norhidayati Mohammad Nasroh menjatuhkan hukuman itu selepas mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan masing-masing.

Mengulas lanjut, Syahredzan yang juga Setiausaha Politik Ahli Parlimen Iskandar Puteri berkata, Ismail tidak wajar membeza-bezakan jenayah yang dilakukan golongan VIP dan rakyat biasa dalam hal membabitkan PKP. 

“Menteri Kanan tidak wajar meremeh-remehkan (downplay) kesalahan jenayah yang dilakukan oleh Timbalan Menteri dan Exco tersebut demi menjelaskan apa yang dikatakan layanan berbeza antara VIP dan marhaen,” tegasnya. – Roketkini.com