Berita, Rencana

Solidariti bantu rakyat rentan, petani sayuran

Syabas kepada pemimpin serta wakil rakyat DAP yang menunjukkan solidariti menyertai kempen ‘beli sayur untuk kumpulan rentan’. Langkah proaktif mereka ini membawa kepada penyelesaian serampang dua mata — membantu petani sambil menyantuni rakyat. 

Lebih 150 tan sayur-sayuran dari Cameron Highlands, Pahang telah dibeli pemimpin dan wakil rakyat parti berkenaan untuk diagihkan kepada keluarga-keluarga yang memerlukan di kawasan masing-masing dengan harapan, sumbangan itu dapat meringankan beban kewangan keluarga terbabit.

Kempen seumpama ini adalah satu langkah ke depan dalam usaha membantu golongan memerlukan dan rentan, serta pada masa sama, menunjukkan bahawa parti itu bersungguh-sungguh dalam mencari jalan bagi mengurangkan impak perintah kawalan pergerakan (PKP) kepada rakyat serta golongan petani. 

Ini kerana jelas Adun Tanah Rata, Chiong Yoke Kong, pelanjutan PKP menyebabkan aspek logistik perlahan dan selain beberapa pasar besar dan borong ditutup sementara ekoran pandemik Covid-19. Keadaan ini telah membawa kepada situasi di mana jualan produk pertanian menjadi perlahan dan banyak pengguna tidak dapat atau tidak mampu membeli sayuran. 

Atas sebab itu, berbekalkan semangat solidariti di masa kesukaran, pemimpin dan wakil rakyat DAP secara bersama telah melancarkan kempen beli sayur untuk kumpulan rentan. Kempen ini menyasarkan untuk membantu para petani dengan menghubungkan mereka dengan pelbagai saluran jualan dan membantu bebanan kewangan ekoran PKP.

Antara yang terlibat, Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook yang. Dalam dua minggu ini, beliau telah membeli lebih dari 50 tan sayur-sayuran segar. Dengan bantuan ramai ahli jawatankuasa kampung serta sukarelawan dari Negeri Sembilan, sayur-sayuran telah disusun, dibungkus dan dihantar kepada kawasan-kawasan berbeza di negeri itu. Setiap bungkusan sayuran beratnya antara tiga hingga lima kilogram. 

Dalam masa sama, penghargaan juga kepada wakil-wakil rakyat termasuk Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok; Ahli Parlimen Bentong, Wong Tack; Charles Santiago (Ahli Parlimen Klang), Ng Sze Han (Adun Kinrara dan Exco Kerajaan Negeri Selangor) serta semua petani sayur Cameron Highlands, yang menyokong kempen ini dengan sepenuh hati.

Benar kata Yoke Kong, dalam usaha melawan pandemik itu dan menang, semangat solidariti dan sokongan bersama adalah sangat penting. Kita, sebagai rakyat, juga perlu terlibat secara aktif dalam tindakan-tindakan anti epidemik dalam usaha menyumbang kepada negara dan masyarakat secara keseluruhannya. 

Yoke Kong menambah, berdasarkan pengetahuannya, terdapat banyak produk pertanian ketika ini perlu dibeli dalam kuantiti yang besar. Ianya tidak terhad kepada sayuran sahaja tetapi juga ikan dan buah-buahan. Pemimpin-pemimpin DAP akan terus memainkan peranan yang aktif dalam membina jambatan dengan menghubungkan petani-petani kepada saluran-saluran jualan. Dengan harapan, untuk meringankan kesukaran para petani. 

Tambahan pula, menjadi harapan agar usaha-usaha ini dapat membuka lebih banyak saluran jualan bagi produk-produk pertanian supaya cabaran-cabaran melibatkan jualan sayuran, buah-buahan dan ikan yang perlahan dihadapi ramai petani terutama ketika PKP, secara beransur-ansur dapat diselesaikan. – Roketkini