Berita, Rencana

Perutusan Ketua Menteri Pulau Pinang sempena Hari Pekerja

PERUTUSAN HARI PEKERJA 2020 OLEH KETUA MENTERI PULAU PINANG PADA 1 MEI 2020 DI KOMTAR, GEORGE TOWN

Salam Hari Pekerja 2020 kepada semua.

Tarikh keramat ini tiba lagi. Meskipun tiada sambutan sama ada di peringkat negeri mahupun kebangsaan kerana akur dengan keadaan pandemik Covid-19, tarikh ini masih diraikan dan sentiasa menjadi hari paling istimewa kepada semua yang bergelar pekerja.

Sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac 2020, ada yang masih meneruskan rutin pekerjaan seperti biasa, ada yang telah diarahkan untuk bekerja dari rumah dan ada juga yang telah diduga dengan notis pemberhentian pekerja oleh majikan masing-masing. Kepada yang masih meneruskan rutin pekerjaan seperti biasa terutama petugas barisan hadapan seperti petugas kesihatan serta semua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Imigresen, kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri serta pelbagai agensi lain sama ada di peringkat tertinggi hingga pekerja am, anda merupakan wira yang sebenar. Pujian harus diberikan atas komitmen serta kerja keras yang telah ditonjolkan dalam lapangan penugasan masing-masing.

Kepada pekerja yang telah diarahkan untuk bekerja dari rumah, kepatuhan untuk tidak keluar dan kekal di rumah juga wajar diberi pujian dalam usaha untuk mengekang penularan wabak Covid-19. Kelebihan serta kelonggaran yang diberikan terutama dalam aspek pengurusan masa yang lebih fleksibel seharusnya digunakan dengan sebaiknya. Dalam berdepan cabaran dan rintangan untuk mengimbangi tugasan rumah serta tugasan pejabat, sudut positif harus dilihat untuk memastikan tempoh PKP ini dijadikan sebagai sebuah platform bagi membolehkan kita meneroka potensi yang boleh dimanfaatkan dalam memastikan produktiviti diri terus terpelihara.

Kepada mereka yang bakal, mungkin dan telah hilang mata pencarian, kerajaan negeri akan berusaha untuk membantu anda. Penang Career Assistance and Talent Centre, atau CAT Center telah memulakan langkah dalam mengumpul pangkalan data dan maklumat terperinci bagi proses pemadanan serta penempatan semula pekerjaan kepada pekerja tempatan dari kilang pakaian Esquel Malaysia (EGM) dan Pan Apparel (M) Sdn. Bhd. yang akan ditutup dalam tempoh terdekat. Serentak itu, kerajaan negeri turut akan meneliti keperluan pihak-pihak berkaitan lain yang turut menerima impak penutupan operasi dengan kadar segera.

Susulan pengumuman terkini laporan pelaburan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi tempoh sepanjang tahun 2019, Pulau Pinang mencatatkan prestasi amat cemerlang dengan merekodkan pelaburan langsung asing (FDI) paling tinggi dalam negara bagi sektor pembuatan iaitu RM15 bilion, sekali gus mengekalkan reputasi sebagai salah satu daripada destinasi pelaburan utama negara. Jumlah keseluruhan pelaburan (domestik dan FDI) yang diluluskan dalam sektor pembuatan adalah RM16.9 bilion membabitkan 166 projek juga merupakan pencapaian tertinggi dalam sejarah negeri kita setakat ini. Sebagai tambahan, menurut MIDA, kira-kira 18,886 peluang perkerjaan baru akan wujud hasil daripada suntikan pelaburan ini. Sebagaimana yang selalu saya kongsikan bahawa Pulau Pinang tidak memiliki sumber asli, tetapi negeri kita mempunyai sumber kemahiran serta bakat yang sering dicemburi dan menjadi daya penarik kepada para pelabur dalam percambahan berterusan ekosistem pelaburan di sini.

Umumnya, sebagai persediaan menghadapi pasca Covid-19 dan merancakkan semula ekonomi negeri, Pulau Pinang kini sedang melaksanakan tiga (3) cabang pembaharuan dalam ‘Strategi Next Normal Pulau Pinang’ dengan tumpuan diberikan kepada pelaksanaan projek-projek awam dan memperkukuhkan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS). Mengikut laporan penilaian krisis badan pemikir Kerajaan Negeri, Penang Institute, sebanyak 99 peratus perniagaan dalam sektor perkhidmatan di Pulau Pinang berada dalam kategori PKS. Malah, laporan sama turut membuat analisis terhadap 46 jenis perniagaan kategori PKS membabitkan empat sektor utama iaitu pertanian, pembinaan, pembuatan serta perkhidmatan, dan didapati bahawa sektor perkhidmatan merupakan kumpulan yang paling terkesan akibat krisis Covid-19. Berasaskan analisis itu juga, dilaporkan bahawa 74.9 peratus PKS di dalam subsektor seni, hiburan serta rekreasi merupakan perusahaan mikro, dan risiko ekonomi terhadap golongan ini adalah amat tinggi sekali.

Berlandaskan itu, kerajaan negeri melalui Exco Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan telah menjalinkan kerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) untuk memastikan Skim Peka PKS iaitu skim pinjaman usahawan tanpa faedah yang berjumlah RM30 juta diuruskan dengan lancar dan sistematik. Setakat 21 April 2020 iaitu tarikh tutup permohonan, sebanyak 2,571 syarikat telah memohon dan akan dihubungi dalam kadar segera selepas proses kelulusan diberikan.

Malah, dalam normal baharu juga, kerajaan negeri juga sedar bahawa pandemik Covid-19 yang membawa kepada pelaksanaan PKP di negara ini telah membuka peluang kepada orang ramai menyesuaikan diri serta beralih kepada urusan secara digital termasuk dalam sektor ekonomi dan pekerjaan. Dianggarkan bahawa jumlah pekerjaan baharu yang wujud menerusi ekonomi pendigitalan bakal menjadi semakin tinggi kelak, dan kerajaan negeri akan terus mempersiapkan pekerja di negeri ini untuk menghadapi cabaran masa depan terutamanya dalam mendepani era Revolusi Industri 4.0.

Justeru, kerajaan negeri kini sedang giat menggalakkan pendekatan pendigitalan menerusi pelaksanaan beberapa inisiatif oleh kedua-dua PBT khususnya dalam kalangan penjaja, peniaga kecil dan juga PKS. Selain itu, graduan yang menganggur juga wajar diberikan latihan semula dalam sektor-sektor baharu, terutamanya sektor teknologi dan digital.

Sama ada anda pekerja kerajaan, pekerja swasta mahupun kerja sendiri, sumbangan anda semua sebagai rakyat Pulau Pinang dalam pembangunan ekonomi adalah sangat dihargai. Kerajaan negeri akan terus berusaha sedaya-upaya untuk membantu semua yang terjejas. Kerajaan negeri tidak pernah tidur dan akan terus bekerja untuk rakyat Pulau Pinang. Situasi dan normal baharu meliputi segenap aspek akan diharungi bersama demi Pulau Pinang yang lebih makmur, sejahtera dan cemerlang. – Roketkini.com