Berita

P. Pinang sedia hadapi tindakan demi lindungi nyawa rakyat

Pulau Pinang tidak gentar dengan ancaman Menteri Kanan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bahawa kerajaan negeri berisiko disaman oleh pelbagai pihak jika tidak membuka semula ekonomi di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

Tegas Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, keputusan untuk tidak melaksanakan arahan PKPB secara tergesa-gesa dibuat bagi melindungi nyawa rakyat tanpa menjejaskan kelangsungan ekonomi mereka. 

“Kami memilih pendekatan strategi pemulihan secara berperingkat dan bukannya ‘secara tiba-tiba’

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Ketua Menteri Pulau Pinang sedia menghadapi tindakan saman kerana mahu melindungi nyawa rakyatnya. Kami juga sedia untuk melaksanakan sepenuhnya pembukaan semula ekonomi di bawah PKPB. 

“Saya berharap Menteri Kanan berkenaan tidak akan ‘menakut-nakutkan’ semua kerajaan negeri sebaliknya menghormati kami sebagai rakan strategik bagi meletakkan negara di landasan pemulihan ekonomi,” katanya pada sidang media di Komtar, hari ini. 

Jelas Kon Yeow, kerajaan negeri secara prinsip bersetuju untuk melaksanakan PKPB tetapi ia harus secara berperingkat dan tidak tergesa-gesa. 

Beliau turut mendakwa, kerajaan negeri tidak diberi masa yang mencukupi untuk membuat kajian SOP dan melakukan persiapan untuk melaksanakan PKPB selepas mesyuarat bersama perdana menteri pada 28 April lalu. 

“Keputusan telah dicapai bahawa SOP akan dimuktamadkan pada hari Selasa, 30 April dan semua Kerajaan Negeri mempunyai peluang untuk memberikan input masing-masing.

“Namun begitu, perkara ini tidak berlaku apabila perdana menteri pada 1 Mei telah mengumumkan bahawa Kerajaan Persekutuan bakal melaksanakan PKPB mulai 4 Mei,” ujarnya yang juga Adun Padang Kota.

Kon Yeow turut menegaskan Pulau Pinang tidak mempunyai alasan untuk membantah PKPB yang bertujuan memulihkan semula ekonomi kerana ia selaras dengan dasar kerajaan negeri iaitu “mengimbangi antara nyawa rakyat dan punca pencarian ekonomi”

Tambahan pula, katanya, Pulau Pinang sangat bergantung terhadap industri pembuatan serta perkhidmatan dan sebarang kelewatan akan memberi impak yang lebih besar kepada negeri dan rakyatnya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut mengariskan PKPB secara berperingkat melalui tiga tahap iaitu:

1.   Fasa 1, 4 – 7 Mei: Fasa persiapan bagi membolehkan sektor menyediakan pelaksanaan SOP. 

2.   Fasa 2, 8 – 12 Mei: Fasa pembukaan kepada kebanyakan aktiviti ekonomi yang dibenarkan bagi membolehkan sektor-sektor yang dibenarkan di bawah PKPB dan masyarakat amnya secara perlahan-lahan dapat menyesuaikan diri dengan SOP dan norma baru. 

3.   Fasa 3, 13 Mei dan seterusnya: Fasa pembukaan menyeluruh bagi semua sektor dibenarkan beroperasi tertakluk kepada PKPB. – Roketkini.com