Berita

Manfaatkan teknologi supaya Parlimen dapat bersidang penuh

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) digesa agar tidak menggunakan penularan wabak Covid-19 sebagai alasan untuk memendekkan tempoh sidang Dewan Rakyat pada 18 Mei ini. 

Ahli Parlimen Bakri, Yeo Bee Yin berkata, Dewan Rakyat boleh bersidang sepenuhnya dengan memanfaatkan penggunaan teknologi seperti mana yang dilakukan negara maju dan membangun lain. 

Negara seperti United Kingdom katanya, melaksanakan sidang Parlimen secara atas talian, selain membenarkan wakil rakyat hadir secara fizikal ke Dewan Rakyat dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) kesihatan.

Tambahnya yang juga mantan Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar syarikat teknologi seperti Zoom, Google dan Microsoft telah menyediakan penyelesaian digital bagi tujuan itu. 

“Adakah kita akan melihat penyelesaian teknologi segera dari Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin agar Covid-19 tidak lagi menjadi alasan untuk meneruskan persidangan Parlimen seperti yang sepatutnya?” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Sidang Dewan Rakyat pada Isnin depan disingkatkan dengan agenda hanya untuk mendengar titah diraja tanpa melibatkan sebarang urusan lain atas alasan risiko jangkitan Covid-19.

Pemerhati politik bagaimanapun melihat tindakan itu sebagai cara untuk menutup ruang usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mengulas lanjut, Bee Yin yang juga Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan berkata, sidang kali ini penting bagi memastikan nasib rakyat yang terkesan dengan penularan wabak ini terbela. 

“Kesan dan akibat daripada Covid-19 adalah sesuatu yang tidak pernah dialami sebelum ini.

“Rakyat memerlukan segala yang ada untuk keselamatan, kelangsungan hidup, dan kesihatan mereka diambil peduli oleh kerajaan, walaupun kerajaan ini bukannya kerajaan yang mereka undi. 

“Persidangan kali ini kritikal untuk rakyat, mana-mana kerajaan sekali pun akan bertindak wajar dan bertanggungjawab terhadap rakyatnya untuk bermesyuarat dan berbincang mengenai tindakan selanjutnya dengan kepentingan rakyat menjadi keutamaan,” ujarnya. – Roketkini.com