Berita, Rencana

Kerajaan PN digesa main peranan tangani keganasan berasaskan gender

Kenyataan Media Oleh Ahli Dewan Negara, Senator Lim Hui Ying.

Saya mengutuk tindakan keganasan siber terhadap dua rakan pemimpin wanita iaitu Adun Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin dan Adun Kampung Tunku, Lim Yi Wei.

Ancaman berbaur seksis dan perkauman yang turut diserta dengan ugutan rogol dan pembunuhan adalah sangat serius dan mengejutkan. Gangguan seksual dalam talian makin meningkat saban hari dan kini dua wanita yang menjawat sebagai Adun telah menjadi sasaran terbaru.

Keganasan Berasaskan Gender atau lebih dikenali sebagai GBV (Gender-Based Violence) boleh menjejaskan kehidupan seseorang mangsa. Keganasan berasaskan gender juga merupakan pelanggaran hak asasi manusia dan suatu bentuk diskriminasi. Semua tindakan kekerasan berdasarkan gender mampu mengakibatkan ancaman dari segi fizikal, seksual dan psikologi. Keganasan sebegini tidak hanya berlaku kepada golongan wanita sahaja, malah golongan lelaki juga.

Menurut All Women’s Acion Society (AWAM), 18.5% daripada semua kes yang dilaporkan melalui talian bantuan mereka terdiri daripada kes gangguan seksual. Manakala gangguan seksual dalam talian (siber) pula telah mencecah sebanyak 41.7%.

Keparahan gangguan seksual dalam talian tidak harus dipandang remeh – kes Thivya Nayagi baru-baru ini yang mengalami gangguan seksual dalam talian menyebabkan dia membunuh diri. Kes sebegini juga harus diambil sebagai iktibar betapa parahnya isu keganasan gender ini. Insiden seperti ini menunjukkan jurang dalam dasar dan undang-undang yang jelas tidak berupaya untuk menangani kekerasan berasaskan gender dalam talian.

Oleh itu, saya mendesak agar Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia mengambil tindakan sewajarnya supaya perkara sebegini tidak berulang. Aktivis pula disarankan untuk memperbanyakkan lagi kempen-kempen kesedaran mengenai keganasan siber kepada pengguna media sosial.

Saya juga memohon kerajaan untuk menggubal undang-undang ‘anti-stalking’ dan menyediakan suatu mekanisme yang lebih baik bagi melindungi mangsa GBV. Insiden-insiden yang berlaku mutakhir ini seharusnya menjadi isyarat kepada kerajaan untuk menggunakan kaedah baharu untuk menguruskan platform media sosial dengan lebih baik agar dapat menangani penularan maklumat salah serta membanteras buli siber dan GBV dalam talian.

Kerajaan juga harus memain peranan dalam mencegah budaya membuli, gangguan dalam talian serta ugutan membunuh dan rogol dengan lebih tegas. Kerajaan juga harus meningkatkan interaksi antara agensi-agensi serta kementerian yang berkepentingan dalam menangani dan membendung kitaran kebencian yang melibatkan buli siber dan keganasan berasaskan gender. – Roketkini.com