Berita, Rencana

Buli siber: Sikap diam diri kerajaan timbulkan kegusaran

Oleh Howard Lee

(Adun Pasir Pinji dan Ketua DAPSY Kebangsaan)

Dua hari telah berlalu setelah Lim Yi Wei, Jamaliah Jamaluddin and Maria Chin Abdullah – ketiga-tiga mereka merupakan wakil rakyat yang dipilih di dalam demokrasi kita – membuat laporan tentang ancaman gangguan seksual dalam talian terhadap mereka.

Wakil-wakil rakyat dari pembangkang dan termasuk juga backbenchers kerajaan telah mengutuk ancaman seksual yang keji, pengecut dan berbaur jenayah ini.

Namun ahli kabinet dan timbalan-timbalan mereka tanpa mengira jantina masih terus terbungkam sepi dan terus menerus memekakkan telinga.

Saya akan terus bersolidariti bersama rakan-rakan saya ini yang telah bekerja tanpa mengira penat lelah bagi kawasan mereka, negeri mereka dan negara kita.

Mereka selayaknya menerima darjat dan penghormatan di atas kerja keras yang telah mereka lakukan. Dan seperti juga rakyat di negara kita yang tercinta ini, sekurang-kurangnya mereka adalah berhak untuk bebas daripada gangguan dan ancaman dalam apa jua bentuk sekalipun.

Serangan dan ancaman terhadap wakil rakyat ini adalah sama jijik seperti yang mungkin pernah dialami oleh rakyat lainnya di seluruh negara.

Tanpa mengira niat ancaman-ancaman ini, sama ada bersifat gertakan, gurauan, bersifat politik ataupun peribadi, ianya amatlah tidak boleh diterima dan jelas salah oleh mana-mana standard, budaya atau agama.

Menteri Dalam Negeri, Menteri Wanita dan Keluarga serta Menteri Komunikasi dan Multimedia harus segera menyatakan pendirian mereka terhadap isu ini serta mengeluarkan garis panduan dan tindakan yang mereka bakal rencakan untuk mengurangkan ancaman seperti ini terhadap negara, masyarakat dan rakyat terbanyak.

Dan sekiranya tindakan itu difikirkan sukar untuk dilakukan, sekurang-kurangnya kerajaan wajib menyatakan pendirian mereka mengenai ancaman seksual dalam talian serta ucapan kebencian di media sosial untuk melindungi nama Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang sudah tercemar.

Setelah wakil-wakil rakyat ini menjadi mangsa jenayah seperti ini, namun akaun Facebook pelaku masih aktif dan memaparkan hantaran ancaman tersebut ; ini menunjukkan sama ada undang-undang atau pelaksanaannya yang tidak serius.

Penyedia platform media sosial juga harus memberikan penjelasan mengenai dasar mereka mengenai kandungan kebencian dan/atau jenayah.

Namun, nampaknya masih kurang penguatkuasaan terhadap piawaian dan garis panduan bagi dasar seperti ini.

Sekarang adalah masa dan peluang yang baik untuk menunjukkan kesungguhan mereka, sekurang-kurangnya kepada pengguna media sosial di Malaysia.

Negara kita mesti berdiri teguh, tegas dan bersatu menentang ancaman siber seperti ini. Ini adalah masalah dasar, undang-undang dan perlindungan rakyat Malaysia agar kita tidak kehilangan nyawa akibat kesan ancaman seperti ini.

Kerajaan mesti mengambil tindakan; memecah kesunyian mereka adalah langkah permulaan yang baik. – Roketkini.com