Berita, Rencana

Buli siber: Siapa mangsa seterusnya?

Kepesatan teknologi maklumat yang dinikmati dunia ketika ini meskipun membawa banyak kelebihan serta kesenangan dalam kehidupan seharian kita, malangnya turut ‘mengheret’ segelintir keburukan bersamanya. 

Dalam kita berupaya mempertingkatkan capaian komunikasi dua hala serta pengetahuan tentang serba serbi perkara di bawah matahari (under the sun), kepesatan teknologi maklumat juga mempunyai ‘sisi gelapnya’ tersendiri. 

Buli siber adalah antara permasalahan yang timbul daripadanya dan gejala itu dilihat kian menjadi-jadi sejak kebelakangan ini. Menerusi media sosial, berlaku pelbagai perbuatan mengecam, menghina, mencaci, mengutuk, menyindir dan merendah-rendahkan.

Ada yang mengeluarkan kata-kata kesat, nista serta fitnah. Sepertimana yang berlaku kepada Adun Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin dan Adun Kampung Tunku, Lim Yi Wei, mereka dilaporkan telah menerima gangguan seksual dan juga ugutan bunuh di Internet baru-baru ini.

Kepimpinan Pakatan Harapan (PH) termasuk Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah tampil mengecam tindakan terhadap dua wakil rakyat DAP tersebut. Pendirian tegas pemimpin-pemimpin ini penting dalam usaha memastikan anggota masyarakat sedar tentang betapa seriusnya isu buli terbabit. 

Persoalannya, kenapa buli siber ini berlaku? Di manakah rasa tanggungjawab sebagai pengguna media sosial? Bagaimana cara untuk menoktahkan gejala buli siber ini daripada terus berleluasa?

Perkembangan ini amat membimbangkan. Ini terutama apabila menurut data Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) serta portal MyHealth Malaysia,  daripada 5,000 responden menyertai kaji selidik mendedahkan, tiga daripada 10 golongan muda Malaysia menjadi mangsa buli siber.

Katanya, ini sekaligus mempengaruhi pendidikan dan kehidupan sosial mereka. 

Daripada statistik itu, sebanyak 457 responden (sembilan peratus) mengaku menggunakan platform digital untuk menganggu atau membuli manakala 63 peratus responden tidak menyedari wujudnya perkhidmatan bantuan talian buli siber. 

Buli siber juga dikatakan lebih berbahaya berbanding buli fizikal kerana ia boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja tanpa kawalan di alam Internet. Sekiranya kecederaan mangsa buli fizikal dapat dilihat mata kasar, mangsa buli siber akan mengalami gangguan dari segi mental dan sosial. Dikhuatiri, ia akan memberi ancaman kepada nyawa mangsa buli berkenaan. 

Portal Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), MyHealth menjelaskan, insiden sebenar kejadian buli siber tidak diketahui kerana ramai mangsa buli siber tidak tampil untuk mendapatkan bantuan. Tambahnya, buli siber yang teruk atau kronik boleh menyebabkan mangsa menjadi resah, murung serta penyakit lain yang berkaitan dengan tekanan. Dalam kes tertentu, buli siber boleh menyebabkan mangsa membunuh diri.

Kerajaan PH sebelum ini dilihat komited dalam membendung isu buli siber ini. Mantan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo dilaporkan telah mencadangkan supaya Kanun Keseksaan (Akta 547) dipinda khususnya bagi menangani kes buli siber.

Justeru, Kerajaan PN ketika ini perlu mempamerkan kesungguhan mereka dalam membendung isu buli siber ini. Pertingkatkan penguatkuasaan serta keluarkan garis panduan dalam memastikan gejala buli seumpama ini dapat dikurangkan secara signifikan.

Sebagai masyarakat yang bertamadun, kita sebagai rakyat Malaysia juga perlu sentiasa menjaga adab kita. Budaya hormat-menghormati yang dimiliki oleh masyarakat Malaysia di ‘alam nyata’, juga perlu diaplikasikan atau diteruskan di alam siber. Jagalah perasaan pengguna-pengguna di media sosial dengan menyedari realiti bahawa mereka juga mempunyai hati, perasaan serta sensitiviti tertentu. 

Budaya hormat-menghormati ini perlu dipupuk serta disemai sekarang jika kita tidak mahu generasi akan datang terus menjadi mangsa buli siber. Jika kita perlu meninggalkan legasi kita di dunia ini kelak, biarlah ia dalam bentuk penerapan nilai-nilai murni kepada anak-anak cucu kita. Gunakan kemudahan teknologi maklumat dengan berhemah. – Roketkini.com.