Berita

DAPSY lapor SPRM dakwaan suapan jawatan menteri, GLC babitkan PM

Sosialis Muda DAP (DAPSY) hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung rakaman suara mirip Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang tular baru-baru ini. 

Setiausaha DAPSY, Teh Hoong Keat mendakwa ia mendedahkan antara lain rancangan pemilik suara itu untuk mendapatkan sokongan Ahli Parlimen UMNO menerusi tawaran jawatan menteri atau pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC). 

“Tidak ada keraguan bahawa tawaran dan penerimaan jawatan seperti menteri dan jawatan GLC adalah satu bentuk suapan yang sama seperti rasuah mengikut Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

“Seksyen 23 Akta SPRM menyatakan mana-mana pegawai badan awam yang menggunakan jawatan dan kedudukannya untuk apa-apa suapan, sama ada bagi dirinya sendiri, saudara atau sekutunya, melakukan suatu kesalahan. 

“Saya berharap siasatan perlu dilakukan segera kerana rakaman itu muncul ketika Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) ditawarkan jawatan dalam kerajaan dan GLC,” katanya pada sidang media di luar perkarangan Pejabat SPRM dekat Jalan Cochrane, KL. 

Beliau turut diiringi Ketua Biro Undang-undang DAP, Ramkarpal Singh dan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng.

Dalam rakaman suara mirip Muhyiddin yang tular sejak semalam, ia antara lain berkata Ahli Parlimen UMNO akan bergabung dengan Bersatu jika ditawarkan jawatan menteri atau GLC. 

“Kalau dia (ahli parlimen Umno) tahu kerajaan baru nak terbentuk, Umno masuk, ‘why don’t you come in now, why don’t you join us now rather than you join later?’ (Kenapa tak sertai kami sekarang, daripada sertai kemudian?)

“Saya fikir kalau itu kita lakukan, sebahagian besar mungkin tinggalkan Umno (dengan hanya) 10 hingga 20 tinggal Najib (Razak) dan puak-puak dia.

“Lebih-lebih lagi kalau ada jawatan. Tak jadi menteri, jadi chairman of GLC (pengerusi GLC),” kata suara itu. – Roketkini.com