Berita, Rencana

Politik dalam pandemik

Seorang pendakwah bebas yang lama menyepi telah mengeluarkan satu kenyataan baru-baru ini; “wabak yang dok ada belum ada penawar, datang pula satu lagi wabak, wabak kemaruk kuasa.”

Ini berikutan terdapat ura-ura bahawa Pakatan Harapan (PH) kini dalam proses mendapatkan kembali hak mereka sebagai kerajaan pemerintah, sekali gus mengangkat kembali mandat rakyat.

Ironinya pada kenyataan yang dikeluarkan pendakwah bebas tersebut, tidakkah individu-individu yang terlibat dalam Langkah Sheraton menunjukkan betapa kemaruknya mereka pada kuasa?

Tidak sabar-sabar menunggu pilihan raya umum (PRU) untuk menjadi kerajaan sehingga sanggup mengambil jalan khianat, bersekutu pula dengan kleptokrat.

Malaysia pada ketika itu diambang permulaan Covid-19, malah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dipimpin baik oleh Mantan Menterinya ketika itu, Dr. Dzulkefly Ahmad. Kita juga bebas kes positif baru untuk beberapa hari sehinggalah negara ditekan dengan kemelut politik dan peralihan kuasa yang mengkucar-kacirkan situasi. Sejurus selepas itu, kita berdepan dengan penularan Covid-19 pada fasa kedua.

Sudilah kiranya pendakwah bebas tersebut menyatakan pendapatnya terhadap permainan politik Perikatan Nasional (PN) yang menjatuhkan PH secara rasmi pada 1 Mac 2020, tarikh Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia (tanpa proses PRU).

Baru-baru ini juga tular satu rakaman audio yang memperdengarkan suara individu merancang meraih sokongan UMNO dengan pemberian jawatan menteri dan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Jika kita sebagai rakyat marhaen membuka mata seluas-luasnya, begitu ramai teman atau saudara terdekat yang kehilangan kerja ataupun terpaksa dipotong gaji, kesan Covid-19 terhadap ekonomi negara.

Apakah mata dan telinga kita juga dapat melihat serta mendengar betapa rancaknya menteri dan kroni mereka mendapat jawatan menteri, timbalan menteri atau pengerusi GLC?

“Scheme of thing” ini politik suapan yang membelakangkan hak rakyat dan melanggar undang-undang antirasuah negara.

Kenapa kerajaan Muhyiddin boleh berpolitik dalam pandemik tetapi PH yang sah diangkat oleh rakyat pada 9 Mei 2018 tidak boleh? Lebih-lebih lagi jika benar ada gerakan untuk mendapatkan kembali tempat mereka yang dirampas tanpa belas sebelum ini.

Seperti mana hidup perlu diteruskan dengan norma baru menghadapi pandemik, begitulah juga kisahnya dengan isu-isu politik dalam situasi pandemik ini. – Roketkini.com