Berita, Rencana

Wabak Chikungunya di Perak meningkat 30 kali ganda: Kerajaan PN perlu bertanggungjawab

Kenyataan media oleh Ketua Pembangkang DUN Perak merangkap Adun Tebing Tinggi, Prof Dr Abdul Aziz Bari.

Dalam tempoh Februari hingga 23 Mei 2020, kes penyakit Chikungunya di negeri Perak telah meningkat lebih 30 kali ganda dan ini adalah satu rekod paling buruk dalam sejarah. Kerajaan negeri Perikatan Nasional (PN) wajib mengambil tindakan segera memandangkan keadaan kini semakin serius dan hampir tidak terkawal. 

Menurut perangkaan Jabatan Kesihatan negeri, kes penyakit Chikungunya telah bertambah dari 11 kes menjadi 454 kes pada tempoh yang sama tahun ini jika dibandingkan dengan tahun 2019. Faktor utama peningkatan penyakit ini adalah akibat kegagalan kerajaan negeri PN melaksanakan kerja khidmat asas menjaga kebersihan kawasan sekitar termasuk pemotongan rumput dan pembersihan longkang yang tergendala sejak PN ambil alih kuasa pada Mac, tahun ini. 

Keadaan kini bertambah lebih teruk kerana kes wabak denggi kini juga mencecah lebih 1,400 kes dan peningkatan kes denggi di kawasan bandaraya Ipoh sahaja sudah mencatat satu peningkatan lebih 150% jika dibandingkan dengan tahun lepas. 

Kemerosotan kesihatan awam dan kebersihan kawasan menunjukkan kelemahan pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal bin Azumu serta Exconya yang tiada hala tuju serta rancangan komprehensif untuk membangunkan negeri Perak dan menjaga kesejahteraan hidup rakyat semua kaum. 

Saya menyarankan kerajaan negeri supaya mengkaji segera kontrak perkhidmatan kerja-kerja pembersihan yang diberi oleh Menteri Besar kepada kontraktor Syarikat Puncak Emas Sdn Bhd tanpa tender terbuka. Adalah jelas pemberian kontrak tanpa tender kini telah merugikan seluruh rakyat Perak sehingga menjejaskan kesihatan awam. Sebarang kelewatan bertindak oleh kerajaan negeri PN adalah amat dikesali. 

Saya juga menyarankan supaya kerajaan negeri mengumumkan segera terma dan syarat kontrak yang diberikan kepada Syarikat Puncak Emas Sdn Bhd. Kerajaan negeri perlu maklumkan juga berapakah sebenarnya kos yang perlu ditanggung oleh rakyat dalam pemberian kontrak ini yang mengambil alih tugas 15 Pihak Berkuasa tempatan (PBT) di negeri Perak. – Roketkini.com