Berita, Rencana

DAP ziarah, hulur sumbangan kepada isteri arwah Mohamed Zaili

Pemimpin DAP hari ini menziarahi keluarga arwah Mohamed Zaili Mohamed yang maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh kereta dipandu lelaki mabuk di Kuala Lumpur, Isnin lalu. 

Bendahari DAP Kebangsaan merangkap Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun turut menghulurkan sumbangan sebanyak RM6,000 kepada isteri mangsa, Zahlawati Zahlan bagi membantu meringankan beban yang ditanggung ibu kepada lima orang anak itu. 

Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke sebelum ini menegaskan pemandu mabuk harus dikenakan hukuman yang berat. 

Mantan Menteri Pengangkutan itu berkata, kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini sedang dalam usaha untuk meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi memerangi isu berkaitan pemandu mabuk.

Beliau antara lain mencadangkan pindaan Seksyen 44 iaitu memandu di bawah pengaruh dadah atau alkohol yang menyebabkan kematian boleh dijatuhkan hukuman penjara sehingga maksimum 20 tahun dan minima enam tahun (Hukuman penjara sekarang ialah tidak kurang daripada tiga tahun tetapi tidak lebih daripada 10 tahun).

Selain itu, beliau turut mencadangkan supaya kadar alkohol yang dibenarkan diturunkan daripada 80mg alkohol dalam 100ml darah kepada 50mg alkohol dalam 100ml darah (atau kurang) mengikut piawaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Meningkatkan denda dan penjara kepada pemandu yang melebihi had yang dibenarkan walaupun tidak terlibat dalam kemalangan. 

“Menggantung lesen memandu untuk seumur hidup sekiranya seseorang didapati bersalah menyebabkan kematian semasa memandu dalam keadaan mabuk.

“Saya berpendapat seseorang pemandu mabuk yang telah meragut nyawa orang lain tidak layak untuk memandu di atas jalan raya,” tegas Anthony. – Roketkini.com