Berita, Rencana

RBA dongeng cybertrooper UMNO

Oleh Shazwan Zdainal Abidin

(Ketua DAPSY Batu Pahat)

Setiap komuniti memiliki kisah mitos yang disampaikan dari mulut ke mulut dan ia berlaku bergenerasi. Begitu juga di nusantara, di mana beberapa mitos popular seperti kisah batu belah batu bertangkup, kewujudan hantu pocong dan lain-lain, disampaikan turun-temurun sehingga menjadi buah mulut masyarakat, walaupun tiada bukti sahih kewujudannya.

Melangkah ke alaf baru, berlainan pula mitos yang cuba disampaikan kepada masyarakat, khasnya Melayu. Dongeng kewujudan Red Bean Army (RBA), satu entiti yang digambarkan seperti agensi rahsia di dalam DAP, diceritakan dan disebarkan kepada masyarakat.

Apa itu Red Bean Army (RBA)?

RBA dikatakan menjalankan gerak kerja “bawah tanah” DAP seperti menyebar serta menyampai propaganda jahat dan hasutan kepada masyarakat, persis kerja-kerja yang sedang dijalankan cybertrooper upahan UMNO dan PAS, untuk menghasut masyarakat dengan perkara seperti hasad dengki perkauman dan lain-lain.(perkara ini diakui kewujudannya oleh DS Najib)

Lebih teruk dari itu, kewujudan RBA yang kononnya dikaitkan dengan DAP, dikata menjalankan gerak kerja di dalam badan kerajaan, berikutan penubuhan Komuniti Harapan Malaysia (KHM) ketika pemerintahan Pakatan Harapan, walhal KHM adalah satu pertubuhan yang sama fungsinya seperti Komuniti 1 Malaysia (K1M) dan Kumpulan Pendengar, Penonton & Pembaca (K3P) yang telah lama wujud di bawah Kementerian Penerangan.

Benarkah RBA wujud?

Tidak, RBA tidak wujud, dan DAP tidak pernah mempunyai skuad RBA seperti yang dimomokkan. Ia adalah sebuah watak yang sengaja diwujudkan, untuk menakutkan dan menimbulkan sangsi orang ramai terhadap DAP, khasnya Melayu.

Jika benar RBA wujud sekali pun, besar kemungkinan mereka itu terdiri daripada cytro pihak politik lawan, yang menggunakan watak DAP bagi tujuan memburukkan DAP. Ibarat, “lain orang yang makan nangka, lain orang yang kena getah.”

Mempercayai kewujudan RBA, ibarat mempercayai kewujudan hantu pocong. Sehingga kini, cytro pihak politik lawan menjadikan RBA sebagai watak untuk diratib dan dituding jari. Bila ditanya oleh rakyat bukti kewujudannya, mereka diam seribu bahasa. Lebih kelakar, mereka mengambil jalan mudah dengan menuduh si penanya itu RBA.

Akan datang, mitos RBA mungkin akan diangkat sebagai watak antagonis alam politik Melayu, di dalam kisah dongeng, “UMNO Memperjuangkan Melayu.” – Roketkini.com