Berita, Rencana

Tidak semua OKU terima bantuan tunai one-off?

Kenyataan Media oleh Setiausaha Politik kepada Ahli Parlimen Segambut, Nor Miswary Ramli

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan Pelan Jana Ekonomi Malaysia (Penjana) yang bertemakan “Bersama Menjana Ekonomi” bernilai RM35 bilion dengan keseluruhan 40 inisiatif diperkenalkan.

Antara inisiatif yang diperkenalkan oleh PM ialah pemberian bantuan tunai secara one-off sebanyak RM300 kepada orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal dan sukarelawan Program Khidmat Bantu di Rumah.

Menurut PM, lebih 300,000 OKU dan ibu tunggal yang tersenarai di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) layak menerima bantuan tunai secara one-off ini yang akan disalurkan sebelum Hari Raya Aidiladha. Jumlah tersebut dipecahkan kepada bilangan OKU seramai 190,000 orang dan ibu tunggal seramai 150,000 orang.

Bagaimanapun, saya dimaklumkan bilangan OKU yang berdaftar dengan JKM di seluruh negara sehingga 30 Jun 2019 adalah berjumlah 549,554 orang. Semakan di portal MaNIS milik Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pula didapati jumlah OKU berdaftar dengan JKM dikemaskini sehingga 20 April 2019 adalah seramai 542,918 orang.

Maka timbul persoalan, mengapa bantuan tunai secara one-off sebanyak RM300 yang diumumkan oleh PM semalam hanya diberikan kepada 190,000 OKU sahaja? Apakah nasib hampir 360,000 OKU yang lain? Adakah terdapat syarat-syarat tertentu bagi melayakkan mereka mendapat bantuan tunai one-off ini?

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) perlu memberi penjelasan mengapa hanya 190,000 OKU sahaja yang akan menerima bantuan tunai secara one-off ini sedangkan jumlah OKU yang berdaftar dengan JKM adalah hampir seramai 550,000 orang (statistik sehingga 30 Jun 2019).

Kerajaan PN juga digesa untuk memastikan agar tidak ada mana-mana OKU yang berdaftar dengan JKM akan tercicir daripada menerima bantuan tunai secara one-off sebanyak RM300 ini. – Roketkini.com