Sedar tak sedar, sudah 100 hari Muhyiddin Yassin mentadbir negara tanpa mandat rakyat. Ini diakui sendiri perdana menteri itu dalam ucapannya pada 27 Mac lalu: “kerajaan ini mungkin bukan kerajaan yang anda pilih”.
Pelbagai nama diberikan kepada kerajaan pimpinan Muhyiddin, antaranya “kerajaan pintu belakang”, “kerajaan tebuk atap”, “PNipu”, “Kerajaan U-turn”, “Kerajaan GLC”, dan pelbagai lagi.
Semua gelaran ini sudah cukup untuk menggambarkan betapa ketidakpuasan hati rakyat semakin membuak-buak, ini ditambah dengan keadaan ekonomi dan pekerjaan yang semakin memburuk.
Menurut Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), kehilangan pekerjaan di negara ini meningkat sebanyak 42 peratus pada suku pertama 2020.
Namun, apa jalan penyelesaian yang diambil kerajaan Muhyiddin yang tampak berkesan? Mungkin ada, tetapi tidak menyerlah seperti pemberian jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kepada para pengikutnya.
Ini diakui sendiri Muhyiddin satu rakaman audio mirip suaranya yang tular baru-baru ini. Apa kata perdana menteri itu dalam audio berkenaan?
“Kalau dia (Ahli Parlimen UMNO) tahu kerajaan baru nak terbentuk, UMNO masuk, ‘why don’t you come in now, why don’t you join us now rather than you join later?‘ (Kenapa tak sertai kami sekarang, daripada sertai kemudian?)
“Saya fikir kalau itu kita lakukan, sebahagian besar mungkin tinggalkan UMNO (dengan hanya) 10 hingga 20 tinggal Najib (Razak) dan puak-puak dia.
“Lebih-lebih lagi kalau ada jawatan. Tak jadi menteri, jadi chairman of GLC (pengerusi GLC),” kata suara itu.
Belum pun sembuh luka rakyat akibat pengkhianatan ini, kerajaan Muhyiddin nampaknya menabur lagi garam ke luka berkenaan dengan berita awal pagi ini.
Dikhabarkan bekas ketua menteri Sabah Musa Aman dibebaskan daripada 46 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dengan konsesi balak di negeri itu.
Keputusan itu katanya dibuat oleh pihak peguam negara selepas Musa Aman memfailkan permohonan untuk menggugurkan berpuluh-puluh tuduhan kes jenayah terhadapnya.
Kalau ada perkara yang perlu dipuji tentang kerajaan Muhyiddin, mungkin hanya ada satu iaitu efisien. Efisien dalam membahagikan jawatan GLC dan efisien dalam menggugurkan kes rasuah. Bukan satu pertuduhan, tetapi 46 pertuduhan sekaligus. Hebat.
Rakyat memerhati tindak-tanduk dan gelagat pengikut Muhyiddin. Suara-suara yang meminta supaya mandat rakyat pada pilihan raya umum lalu dihormati semakin kuat kedengaran.
Tuntutan rakyat ini akan semakin kuat jika Muhyiddin terus menggunakan kedudukan untuk tujuan yang bertentangan dengan kehendak rakyat. – Roketkini.com