Berita

‘Saya hormat Raja-Raja Melayu’ – Hannah

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh menafikan dakwaan yang dikeluarkan oleh bekas peguam kanan persekutuan, Mahamad Naser Disa berhubung ciapannya sebelum ini.

Sebaliknya, Hannah yang juga bekas Timbalan Menteri di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menegaskan beliau sangat menghormati kedaulatan undang-undang dan Raja-Raja Melayu.

“Saya tak rasuah dan tak menindas rakyat. Saya tak salah guna kuasa. Saya hormat kedaulatan Raja-Raja.

“Lima tahun saya berkhidmat sebagai Speaker Dewan Negeri Selangor berusaha sedaya upaya untuk membuat pembaharuan legislatif bagi negeri naungan DYMM Sultan Selangor. Saya faham bidang kuasa,” kata Hannah melalui ciapan di Twitternya.

Hannah berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Mahamad Naser berhubung ciapannya yang bertarikh 9 Mac yang sedang dalam siasatan polis mengenai status Pelan Strategik Kebangsaan Menangani Perkahwinan Bawah Umur.

Seperti dilapor Malaysiakini, Mahamad Naser Disa mendakwa ciapan yang dibuat Hannah berhubung isu perkahwinan bawah umur itu sebagai satu usaha ‘terjahan’ terhadap kedaulatan raja-raja sebagai ketua negeri.

Hannah juga dalam ciapan berlainan menyatakan rasa kesalnya terhadap apa yang berlaku dan berkata hanya Tuhan sahaja yang mengetahui segala penat lelahnya dalam memperjuangkan nasib golongan terbabit.

“Tahukah anda betapa penatnya perjalanan saya sebagai wakil rakyat yang hanya mahu berkhidmat dan membuat yang terbaik untuk kanak-kanak, wanita dan keluarga, tetapi selalu difitnah oleh pelbagai pihak.

“Hanya Tuhan sahaja yang maha mengetahui,” kata Hannah.

Untuk rekod, pelan strategi kebangsaan dilancarkan pada 16 Januari lalu oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan bagi menangani punca perkahwinan bawah umur di peringkat akar umbi. – Roketkini.com