Berita

Tangani isu pengangguran belia – Sheikh Umar

Kerajaan perlu serius dalam menangani isu pengangguran belia, kata Adun Paloh, Sheikh Umar Bahgrib Ali.

Beliau berkata, ia seharusnya dijadikan agenda tetap negara demi kesinambungan perkembangan ekonomi yang lebih dinamik untuk masa hadapan.

Ke arah itu, beliau memberitahu, kualiti pendidikan serta penstrukturan semula akademik dengan mengambil kira penekanan bidang Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk memenuhi keperluan industri perlu dititik beratkan.

Di Jerman, jelasnya, Sistem Dwilatihan Vokasional Teknikal telah berjaya memadankan perantis dari sekolah beraliran vokasional dengan industri.

“Pendekatan yang holistik ini dapat menggabungkan pengalaman pembelajaran berasaskan kerja untuk terus disambut oleh industri. Pendekatan ini dikatakan telah menyumbang kepada penurunan peratusan kadar pengangguran belia di negara tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Sheikh Umar menambah, komunikasi dan kolaborasi dalam pendidikan dan latihan perlu diperhebatkan dalam pembangunan komuniti khususnya golongan belia.

Interelasi sektor pendidikan dan industri ujarnya, tidak boleh dilihat ‘syok sendiri’ dan akhirnya golongan belia yang sukar memenuhi keperluan industri pula yang dikatakan ‘tidak peduli’.

Di Australia, beliau berkata, Jawatankuasa Industri dan Kemahiran telah diwujudkan.

Menurutnya, jawatankuasa itu diberikan tugas khas menyediakan platform rasmi bagi membolehkan penggerak serta pemain industri berperanan aktif dalam mencorakkan hala tuju dasar dan proses pembuatan keputusan bagi sektor TVET.

“Ini termasuk merumuskan pakej-pakej latihan yang releven untuk dibekalkan kepada para belia berdasarkan maklumat berkaitan jurang kemahiran pasaran kerja mengikut keperluan semasa industri,” katanya. — Roketkini.com