Berita

SPR perlu teruskan usaha reformasi pilihan raya meski Azhar berundur

Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong membangkitkan persoalan tentang nasib reformasi proses pilihan raya susulan peletakkan jawatan Azhar Harun sebagai pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Menyifatkan peristiwa peletakkan jawatan itu sebagai mengecewakan, beliau berkata, SPR di bawah Azhar telah banyak membuat pembaharuan antaranya pusat mengundi kini lebih mesra kepada orang kurang upaya dan orang tua.

Malah, katanya lagi, proses pengundian kini dibuat lebih telus susulan pelantikan orang yang dipercayai dan proses pengiraan undi disiarkan secara langsung.

Selain itu, tambahnya yang juga Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Pilihan Raya, SPR telah membersihkan daftar pemilih dengan mengeluarkan 348,098 individu yang meninggal dunia dari daftar tersebut antara 2017 dan Ogos 2019.

“Pengunduran diri Azhar kini menimbulkan keraguan terhadap prospek reformasi pilihan raya selanjutnya.

“Pun begitu, saya menyeru baki anggota SPR untuk tetap teguh dan menyelesaikan pembaharuan yang telah mereka mulakan,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.

Poay Tiong yang juga Naib Pengerusi DAP Melaka turut membangkitkan persoalan tentang status Jawatankuasa Pembaharuan Pilihan Raya (ERC) yang ditubuhkan kerajaan Pakatan Harapan bagi mengesyorkan penambahbaikan proses pilihan raya.

Katanya, laporan interim ERC telah diserahkan kepada Perdana Menteri pada Januari lalu, dan laporan penuh sepatutnya siap pada Ogos depan.

Katanya lagi, laporan tersebut perlu didedahkan kepada umum jika kerajaan hari ini benar-benar komited terhadap pembaharuan pilihan raya.

Malah, kata Poay Tiong, status ERC yang ditubuhkan pada Oktober tahun lalu itu tidak diketahui nasibnya sama ada akan diteruskan oleh kerajaan atau tidak.

“Saya menyeru semua pihak berkepentingan, termasuk kerajaan, SPR, parti politik, dan masyarakat sivil, untuk terus melanjutkan proses reformasi pilihan raya.

“Pembaharuan pilihan raya harus menjadi isu bipartisan yang diperjuangkan oleh semua rakyat Malaysia, kerana pilihan raya adalah inti demokrasi kita,” katanya. — Roketkini.com